- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
25 Ribu Pengunjung Membanjiri Istana Arau
Arau, 24 Mei – Seramai hampir 25 ribu pengunjung membanjiri Istana Arau bagi memeriahkan Malam Kilauan Cahaya yang berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 Mei 2017 di sini.
Menurut Pengarah Unit Komunikasi Korporat (UKK), Mustaffa Ismail, jumlah pengunjung yang hadir telah mencapai malah melebihi jumlah sasaran yang telah ditetapkan.
“Ini merupakan tahun kelima UniMAP menganjurkan Malam Kilauan Cahaya dan kita mensasarkan 10 ribu pengunjung pada setiap malam bagi kedua-dua malam tersebut.
“Dapat dilihat peningkatan jumlah pengunjung saban tahun yang meluangkan masa hadir pada program tersebut,” katanya.
Tambahnya, malam pertama menyaksikan seramai 14,950 orang dan malam kedua pula seramai 9,985 pengunjung yang hadir bagi melihat keadaan perkarangan istana yang dipenuhi dengan kilauan lampu.
“Tidak ketinggalan seramai 5,251 orang pula meluang masa untuk melihat galeri istana yang menempatkan barang-barang kebesaran istana.
“Mereka berkumpul seawal jam 8.00 malam sambil menunggu pintu pagar Istana Arau dibuka pada jam 9.30 malam selepas selesai solat Isyak dan gimik pembukaan program tersebut,” katanya.
Antara aktiviti menarik pada malam tersebut adalah persembahan kebudayaan, pertunjukan magik, soalan kuiz, cabutan bertuah, dan diakhiri dengan tembakan bunga api.
Program ini dianjurkan bersempena dengan sambutan ulangtahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis ke – 74.