- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Mahasiswa Perlu Berjinak-Jinak Dengan Keusahawanan
Arau, 24 Mei – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal menggesa mahasiswa untuk berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan walaupun ketika masih menuntut di menara gading.
“Mahasiswa adalah tunjang untuk menggerakkan bidang keusahawanan yang merupakan satu sektor yang membantu memajukan Negara suatu hari nanti.
“Malah, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah menetapkan sekurang-kurangnya lima peratus mahasiswa yang masih dalam sistem pengajian perlu bergiat dalam bidang keusahawanan.
“Ini adalah kearah bagi melahirkan usahawan dan teknousahawan apabila mereka bergraduat nanti,” katanya ketika merasmikan Women Entrepreneurship Forum and Exhibitions 2017 di Dewan Kecemerlangan UniMAP baharu-baharu ini.
Beliau berharap agar minat sebagai usahawan dalam diri mahasiswa akan berterusan dan bakal memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan Negara kelak.
Hadir sebagai panel jemputan bagi forum selama satu hari itu adalah Pengasas De Riche Lurve Sdn Bhd, Syarifah Ngadiron; Ketua Pegawai Eksekutif Modvier, Siti Sarah Shah Nor; Pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., Dato’ Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dato’ Seri Vida; dan Ikon Usahawan Muslimah, Ketua Pegawai Eksekutif Sam Beautilogy Lab Sdn. Bhd. dan Profit Magnet Sdn. Bhd., Dato’ Sharifah Shareen Al-Mashoor.