- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Dua Sekolah Bawa Cabaran Perlis Ke Pertandingan Inovasi Di Korea
Kangar, 21 Julai – Dua buah sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Putra dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al-Maad) bakal membawa cabaran Perlis ke World Invention Creativity Contest (WICC) edisi keenam yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Julai ini di Seoul Korea.
SRK Putra menerima penajaan penuh berjumlah RM10,000 daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) susulan kejayaan penyelidik cilik dari sekolah berkenaan menjuarai pertandingan Perlis Engineering Research & Learning Innovation Symposium (PERLIS) 3.0 menerusi produk ``Solar Cat Feeder” yang berlangsung Mei lalu dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra.
Manakala SMA Al-Maad pula menerima penajaan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah serta Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP serta Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan bakal diwakili oleh enam pelajar dan empat guru pengiring.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP sentiasa menganjurkan pelbagai program serta aktiviti penyelidikan dan inovasi khusus bagi meningkatkan minat pelajar untuk menyertai aliran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar sekolah.
Ujar beliau, ia juga secara tidak langsung merupakan khidmat sosial universiti khususnya bagi membolehkan sasaran Dasar 60:40 yang dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah pelajar aliran sains sebanyak 60 berbanding 40 peratus pelajar bukan sains.
“Berdasarkan statistik tahun 2014, terdapat sekitar 46 peratus pelajar yang memilih aliran STEM di seluruh negara dan jika dilihat di peringkat negeri Perlis, jumlah yang mengambil aliran STEM masih jauh ketinggalan iaitu sekitar 25 peratus.
“Justeru, melalui aktiviti sebegini, adalah menjadi harapan UniMAP agar ianya dapat menyuburkan minat pelajar untuk mendalami ilmu STEM ini. Pelajar-pelajar diberi bimbingan untuk menterjemahkan idea penyelidikan masing-masing oleh tenaga pengajar dari semua Pusat Pengajian Kejuruteraan yang ada di UniMAP,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Jamuan Aidilfitri Pejabat Naib Canselor (PNC) UniMAP di Bangunan KWSP di sini hari ini. Pada majlis tersebut, kesemua pelajar dan guru menerima sumbangan cenderahati dan saguhati untuk perbelanjaan di Korea.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan dan Pendaftar UniMAP, Zuber Haji Mohamad.
WICC yang dianjurkan oleh Korea University Invention Association (KUIA) merupakan platform penyelidikan khusus yang menghimpunkan inovasi para pelajar dari sekolah-sekolah di seluruh dunia.
Pertandingan tersebut akan berfungsi sebagai medium pendidikan interaktif dalam mewujudkan peluang untuk pelajar memperoleh inspirasi inventif dan inovatif melalui interaksi di kalangan peserta.