- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
BILD Ozean Julang Nama SMK DERMA
PAUH PUTRA, 28 Julai - Hasrat mulia tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma untuk berkongsi keindahan lautan bersama insan yang kurang bernasib baik membolehkan mereka muncul juara keseluruhan (Best Of The Best) pada Perlis Makers Day 2017.
Produk yang dinamakan Bild Ozean atau imej lautan, ciptaan Shautul Wafie Arizal, 13, Nur Wafaa Aqilah Mohd Ridzuan, 14 dan Nur Hidayatul Akma Badri 14 antara lainnya membolehkan imej di lautan direkodkan dengan menggunakan kamera yang diletakkan pada alat tersebut.
Ketua kumpulan, Shautul Wafie Arizal berkata, idea untuk mencipta produk tersebut muncul melalui minat beliau sendiri yang sukakan pemandangan laut.
“Idea ini, seterusnya disuarakan kepada mentor dari Universiti Malysia Perlis (UniMAP) dan mereka bersetuju untuk membantu dalam penciptaan produk ini sebagaisatu medium untuk berkongsi keindahan imej hidupan laut bersama insan yang kurang bernasib baik.
“Kami amat berterima kasih kepada guru dan mentor yang banyak membantu sehingga produk kami berjaya meraih kemenangan pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Perlis Makers Day 2017, di sini baru-baru ini.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis, Asmaiza Ahmad.
Yang turut hadir, Dekan Pusat Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Komputer dan Perhubungan UniMAP, Prof. Madya Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi.
Perlis Makers Day 2017 dianjurkan secara bersama oleh PPK Komputer dan Perhubungan UniMAP, 1M4U, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Institut Kejuruteraan Nano Elektronik UniMAP dan Chumbaka Sdn. Bhd.
Pertandingan ini dianjurkan khusus untuk para pelajar tingkatan satu hingga empat mengetengahkan idea masing-masing sebagai satu inisiatif menggalakkan pendidikan dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.
Perlis Makers Day disertai oleh 8 buah sekolah di negeri Perlis membabitkan penyertaan sekitar 128 orang yang mewakili 32 kumpulan. Pertandingan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu makanan dan pertanian, automotif/mobility, kesihatan, rumah dan perlindungan, peralatan berat dan mesin serta peruncitan.
Pemenang pertandingan ini akan mewakili negeri ke National Makers Day yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada awal Ogos nanti.