A+ A A-

Anak Mangsa Tsunami Ditawarkan Masuk UniMAP

Kuala Muda, 3 April – Seramai 12 orang pelajar yang sebahagian besarnya merupakan anak mangsa kejadian Tsunami di Kedah pada tahun 2004 yang lalu menerima surat tawaran kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Surat tawaran kemasukan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Sulit kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Mohd. Nizar Haji Sudin dalam satu majlis ringkas bersempena program kemasukan khas “Jom Masuk UniMAP” di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Shaari Ismail dan Pengetua SMK Kota Kuala Muda, Shabudin Ali.

Dalam ucapannya, Mohd. Nizar berkata, program tersebut bertujuan membantu para pelajar dari kategori keluarga kurang berkemampuan dengan pendapatan di bawah RM 3,000 untuk mendapat tempat di UniMAP berdasarkan keputusan peperiksaan masing-masing.

Ujar beliau, usaha yang dilakukan oleh UniMAP ini merupakan sebahagian daripada inisiatif mereka mendokong hasrat kerajaan memperkasakan modal insan ke arah mewujudkan masyarakat berpendapatan dan berkemahiran tinggi.

“Kerajaan amat berharap pelaburan jangka panjang melalui program kemasukan khas UniMAP ini dapat menghasilkan modal insan berkualiti bagi meneruskan pembangunan negara kea rah mencapai Wawasan 2020.

''Sehubungan itu, inisiatif UniMAP ini merupakan bukti nyata masalah kewangan bukan lagi menjadi satu isu yang menyebabkan para pelajar daripada golongan kurang berkemampuan khususnya dari luar bandar tidak mendapat pendidikan di universiti," katanya.

Program Jom Masuk UniMAP sebelum ini telah berlangsung di beberapa buah negeri antaranya di Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur. Program tersebut akan diteruskan di Pulau Pinang pada hari Sabtu dan Ahad ini.

Sementara itu, Dr. Kamarudin berkata, menerusi program di Kota Kuala Muda, hampir 50 orang pelajar hadir bersama dokumen diri dan keputusan peperiksaan masing-masing bagi mendapatkan khidmat nasihat dan perundingan memilih program pengajian yang bersesuaian dengan kelulusan akademik masing-masing.

Jelas beliau, pemilihan lokasi Kota Kuala Muda dibuat bagi membuka peluang kepada anak-anak mangsa Tsunami yang mendapat keputusan peperiksaan cemerlang tetapi tidak tahu saluran yang tepat untuk menyambung pengajian.

“Daripada jumlah tersebut, 12 pelajar ditawarkan tempat serta merta manakala permohonan lain perlu ditapis terlebih dahulu oleh panel penilai. UniMAP memperuntukkan 100 tempat untuk program kemasukan khas bagi sesi pengajian 2015/2016,” jelas beliau.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Sabrina Shahabudin, 20, bersyukur apabila ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian), Perniagaan Antarabangsa pada sesi kemasukan yang akan bermula September depan.

Ujar beliau, kejayaan tersebut diharap dapat membalas jasa dan pengorbanan ayah yang hanya bekerja sebagai seorang nelayan serta ibunya yang berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan dalam menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Anak sulung daripada lima beradik itu turut berazam menggunakan peluang yang diberikan UniiMAP untuk belajar bersungguh-sungguh seterusnya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ibunya, Latipah Abdullah, 52 tahun pula berharap kejayaan Sabrina dapat menjadi pendorong untuk adik-adiknya belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan yang membanggakan sehingga ke universiti.

Seorang lagi pelajar, Nursyakirah Nabilla Che Halim, 20, tidak akan melepaskan peluang yang telah diberikan oleh UniMAP untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu juga pada sesi kemasukan September.

“Saya dimaklumkan, ia merupakan program pengajian baru di UniMAP dan saya teruja untuk menjadi antara graduan terawal bidang komunikasi media baharu ini dan sekaligus mempelajari ilmu baru berkaitan kursus tersebut,” ujarnya.

Jom Masuk UniMAP

Jom Masuk UniMAP

Jom Masuk UniMAP

Jom Masuk UniMAP

Jom Masuk UniMAP

Jom Masuk UniMAP