- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
SUKSIS UniMAP Terus Berbakti Kepada Komuniti Antarabangsa
Arau, 2 Ogos – Perbezaan bahasa dan budaya tidak menjadi penghalang sekiranya fokus utama adalah untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat.
Perkara ini telah dibuktikan oleh Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang memilih Pulau Panjang, Satun Thailand sebagai lokasi ketiga dalam menabur bakti sempena Program SUKSIS Community Outreach Program & Engagement (SCOPE) III baharu-baharu ini.
Naib Canselor UniMAP merangkap Komandan Kor SUKSIS , Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, melangkaui sempadan bukanlah satu halangan sekiranya dituntut untuk menaburkan bakti kepada mereka yang memerlukan.
“UniMAP komited dalam menyumbang bakti kepada komuniti antarabangsa yang memerlukan bantuan dan sokongan khususnya dalam perkembangan akademik dan sosial.
“Thailand adalah jiran antarabangsa yang sangat dekat dengan Perlis dan UniMAP pula adalah satu-satunya universiti awam yang terletaknya berdekatan dengan sempadan khususnya di Satun,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program tersebut di daerah Satun.
Tambah beliau, dengan jarak perjalanan yang kurang dari 40 minit menarik pihak UniMAP untuk datang bagi membantu pembangunan komuniti di sana.
“Pastinya UniMAP akan datang lagi ke sini tambahan pula kepakaran yang ada di UniMAP khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi mampu menghasilkan inovasi baru kepada kemudahan sediada di kampung ini,” katanya.
SCOPE III merupakan susulan dari Program SCOPE yang merupakan inisiatif program berteraskan komuniti di peringkat anatarabangsa yang telah dijalankan sejak 2 tahun yang lalu.
Program yang berlangsung selama dua hari satu malam ini disertai 35 orang pelatih dan pegawai Kor SUKSIS yang turut mendapat sokongan daripada Komandan Kor SUKSIS.
Dr. Zul Azhar juga percaya walaupun dalam masa yang singkat, mahasiswa UniMAP mampu menimba banyak pengalaman dengan adanya kepelbagaian aktiviti dan peluang berinteraksi bersama penduduk tempatan.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah mengecat sekolah, menukar papan tanda masjid, menceriakan bilik kuliah masjid dan aktiviti motivasi bersama pelajar pelajar sekolah.
Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan, Dato' Zull Aznam Haron; Pengarah Pusat Kokurikulum UniMAP, Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail; Pengetua Kolej Kediaman, Kartini Hj. Alir; dan Ketua Kampung Pulau Panjang merangkap Wakil Rakyat Pulau Puyu, Satun, Adnan Johari.
Selain aktiviti kemasyarakatan, Kor SUKSIS UniMAP turut mengadakan lawatan dan perbincangan dua hala bersama Polis DiRaja Thailand dengan mengunjungi Ibu Pejabat Polis Daerah Satun.
Delegasi yang diketuai oleh Penolong Superitenden Kor SUKSIS (ASP/KS) Raja Shah Erman Raja Arifin telah disambut oleh Timbalan Komandar Polis Satun sendiri bersama pegawai pegawai kanan polis.
Antara perkara yang dibincangkan adalah kerjasama Kor SUKSIS UniMAP dan Polis DiRaja Thailand dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kepolisan yang berteraskan kepada komuniti secara bersama di masa akan datang.
Delegasi juga turut dibawa melawat sekitar Balai Polis berhampiran dengan diberi penerangan operasi harian serta pendekatan yang digunakan dalam mengurangkan jenayah.
Untuk rekod, SCOPE pertama kali diadakan di Kemboja pada 2016 tahun dan SCOPE II pula diadakan di Acheh pada awal 2017 yang lalu.