A+ A A-

ASP 2014: Suasana Kampung Pikat Hati Peserta

Padang Besar, 12 Ogos - Aktiviti berkayuh sambil menikmati suasana petang di kawasan kampung memberikan pengalaman baru kepada para peserta Asia Summer Program (ASP) 2014.

Lebih bertuah lagi, Raja Muda Perlis yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan bercemar duli  berangkat hadir untuk bersama-sama para peserta berkayuh sejauh 10 kilometer di Kampung Titi Tinggi Hulu, di sini semalam.

Turut serta dalam kayuhan itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin.

Selain beriadah, aktiviti berbasikal dianjurkan khusus untuk mendekatkan lagi para peserta ASP2014 dengan persekitaran di Malaysia amnya dan Perlis khasnya.

Bagi Park Taeyon, 24, yang berasal dari Korea Selatan, berkata , aktiviti berkayuh di kawasan kampung ternyata memberikan pengalaman baru kepadanya tentang budaya penduduk tempatan.

“Ini merupakan kali pertama saya datang ke Malaysia dan ianya pengalaman yang menyeronokkan kerana dapat mengikuti program yang menarik dan menambah pengetahuan mengenai budaya masyarakat Asia.

“Pemandangan sepanjang laluan kayuhan juga amat menarik dan ia tidak terdapat di Korea,”katanya ketika ditemui selepas Program Kayuhan CSR bersama Raja Muda Perlis.

Rakan beliau, Jae Hyeon Kim, 23, yang juga berasal dari Korea Selatan berkata, peluang yang diberikan untuk menyertai ASP adalah sangat berharga dan tidak sepatutnya disia-siakan.

“Saya mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang diadakan, kerana ianya pengalaman yang tidak akan saya perolehi di tempat sendiri.

“Sekiranya diberikan peluang sekali lagi untuk menyertai ASP, saya tidak akan melepaskan peluang itu,”katanya.

Sementara itu, bagi peserta dari Bangladesh, Md. Ashaful Islam Kakon, 19, berkata, beliau berasa selesa dengan layanan yang diberikan masyarakat Malaysia yang peramah dan mudah mesra.

“Penduduk di sini mudah memberi senyuman dan tidak sombong, sepanjang perjalanan semasa berkayuh tadi mereka sentiasa melambai kearah kami.

“Pengalaman kali pertama disini membuatkan saya berasa amat selesa dan bercadang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di UniMAP kelak,”kata mahasiswa jurusan kejuruteraan perisian komputer dari Daffodil International University itu.

Sepanjang perjalanan itu juga, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menyampaikan sumbangan dari Majlis Agama Islam Perlis kepada tiga buah keluarga asnaf  yang kurang berkemampuan.

Pertukaran Budaya

Pertukaran Budaya

Pertukaran Budaya