A+ A A-

Azwan Shahmie Zakaria Dinobatkan Tokoh Siswa Terbilang UniMAP

Kangar, 9 April 2015 – Azwan Shahmie Zakaria telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor – Tokoh Siswa Terbilang pada Majlis Anugerah Gemilang Siswa (AGS) 2014 yang berlangsung di Dewan Kapitol di sini, baru-baru ini.

Azwan Shahmie merupakan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP bagi sesi 2013/2014 yang aktif dan komited sehingga melayakkannya dilantik sebagai Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Kawasan Utara oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Saya berasa sangat gembira kerana diberikan penghargaan yang tertinggi oleh UniMAP dan amat berterima kasih di atas pemilihan untuk menerima anugerah ini.

“Tetapi tanpa sokongan rakan-rakan, saya yakin tidak akan dapat melaksanakan apa jua tugasan yang diamanahkan oleh universiti dengan baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Anugerah disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr Kamarudin Hussin. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Datuk Kamarudin dalam ucapannya, menyeru pelajar UniMAP untuk menyahut cabaran bergiat aktif dalam bidang kesukarelawan demi mencungkil bakat kepimpinan pelajar.

“Malah ia mampu untuk memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari selok belok penganjuran program, berdepan cabaran serta menikmati keseronokan dan menimba pengalaman secara langsung melalui penglibatan secara aktif dalam aktiviti kesukarelawan.

“Sehinggakan UniMAP buat julung kalinya memperkenalkan satu kategori anugerah bagi menghargai pelajar yang bergiat aktif dalam program kesukarelawanan,” katanya.

Pengenalan anugerah ini sebagai sokongan untuk merealisasikan hasrat kerajaan yang ingin menggalakkan mahasiswa bergiat aktif dalam kesukarelawan.

Tambahnya lagi, UniMAP melalui HEPA bakal memperkenalkan dua program berteraskan kesukarelawanan di mana penganjurannya adalah melalui Kelab atau Persatuan Pelajar di UniMAP.

“Dua program tersebut adalah Program Apprenticeyang melibatkan geran khas aktiviti dan juga Program Corporate Social Responsibility yang bakal dilaksanakan peringkat antarabangsa,” katanya.

AGS 2014 yang dianjurkan HEPA UniMAP telah menyenaraikan 124 anugerah kepada pelajar yang mengharumkan nama UniMAP di pelbagai peringkat antaranya, Kelab atau Persatuan; Sukan; Seni dan Budaya; Pengucapan Awam; Keusahawanan; Kesukarelawan; Penyelidikan dan Inovasi; Akademik (Diploma dan Ijazah); Anugerah Kecemerlangan Khas.

Datuk Kamarudin berharap anugerah ini akan meningkatkan motivasi pelajar supaya lebih bersemangat untuk berjaya serta menjadi seorang individu yang berkebolehan istimewa dan versatile.

“Penghargaan ini merupakan pendorong dan pemangkin kepada individu-individu lain untuk bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti sama ada akademik, kebudayaan, Inovasi, kokurikulum, sukan dan rekreasi demi mengharumkan nama UniMAP,” katanya.

Anugerah Naib Canselor – Tokoh Siswa Terbilang

Anugerah Naib Canselor – Tokoh Siswa Terbilang

Anugerah Naib Canselor – Tokoh Siswa Terbilang

Anugerah Naib Canselor – Tokoh Siswa Terbilang

Anugerah Naib Canselor – Tokoh Siswa Terbilang

Anugerah Naib Canselor – Tokoh Siswa Terbilang