- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Lapan Pelajar Nahda University menyertai Program Inbound Mobiliti di UniMAP
PAUH PUTRA, 18 September – Seramai lapan pelajar dari pelbagai program pengajian di Nahda University Mesir dipilih menyertai program Inbound Mobiliti di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini yang berlangsung selama dua minggu mulai 17 Ogos lalu.
Kesemua pelajar terbabit merupakan pelajar tahun tiga dan empat program pengajian Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Senibina dan Kejuruteraan Komunikasi Komputer di universiti terbabit.
Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP, Dr. Noorhafiza Mohamad, berkata, pelaksanaan program itu adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimerterai antara UniMAP dengan Nahda University.
Ujar beliau, selian memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kualiti pengajaran dan pembelajaran di UniMAP, program tersebut juga merupakan sebahagian dari inisiatif keterlihatan UniMAP di peringkat antarabangsa.
“UniMAP amat proaktif dalam menyerlahkan keterlihatannya di mata dunia, justeru program ini adalah usaha yang dilakukan dengan membabitkan penglibatan pelajar antarabangsa.
“Antara PPK yang terlibat adalah Komputer dan Perhubungan, Mekatronik, Alam Sekitar serta Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu Pembantu Pengajar di Jabatan Kejuruteraan Awam, Nahda University, Mostafa Mahmoud Yasen Radwan, berkata, kursus yang ditawarkan adalah releven dengan keperluan pelajar yang sedang mengikuti program pengajian di Nahda University.
“Pelajar juga tidak sabar untuk melawat beberapa tempat di Malaysia. Walaupun, negara ini agak panas seperti di negara mereka, ianya tidak menjadi halangan untuk menikmati keseronokan berada di sini,” katanya.
Antara pengisian program ialah pelajar diwajibkan mengikuti kursus-kursus ilmiah selain diberi peluang untuk melawat sekitar Negeri Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur untuk memberikan pendedahan terhadap budaya dan kehidupan rakyat Malaysia.
Ujar Mostafa lagi, program tersebut diharapkan akan dapat meningkatkan hubungan yang erat di antara UniMAP dan Nahda University, dalam pertukaran ilmu serta pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar dan juga staf kedua-dua universiti.