A+ A A-

SEMINAR INDUSTRIAL 4.0

PAUH PUTRA- Pemahaman masyarakat terhadap Gelombang Revolusi Industri Keempat (4.0) yang melewati dunia global kini masih di tahap sederhana malah dalam kalangan warga akademik juga, tidak jelas mengenai Revolusi Industri 4.0 ini.

Universiti dan industri perlu memainkan peranan dalam usaha mendidik  masyarakat untuk membudayakan pemahaman Revolusi Industri 4.0 dalam kalangan bagi memastikan mereka cukup bersedia menghadapi dunia yang semakin mencabar.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata, UniMAP telah bersedia dan sudah merancang untuk terus relevan dengan ketibaan Revolusi Industri 4.0.

“Kita sebenarnya telah melaksanakan dasar dan inisiatif yang proaktif dengan mengambil kira Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia (Malaysian Education Blueprint), status autonomi kami, dan rancangan strategik 2025 UniMAP.

“Dengan mengoptimumkan sumber dalaman dan hubungan luar, saya  yakin bahawa UniMAP boleh berkembang maju dalam era Industri 4.0 dan membuat banyak perbezaan positif di dunia,“ katanya ketika menyampaikan ucapan Perasmian Seminar Industrial 4.0 yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam UniMAP, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Profesor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Ali Yeon Md Shakaff, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Rezuwan Kamarudin dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Uda Hashim.

Ujar Zul Azhar lagi, sebagai sebuah pusat pengajian tinggi di Perlis, akan memberikan bantuan dan kepakaran kepada pihak kerajaan negeri ke arah Revolusi Industri Keempat.


“Buat masa ini UniMAP sedang membantu kerajaan negeri dan juga Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) membantu Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA),”katanya.

Seminar Industrial 4.0 anjuran bersama Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Majlis Profesor, UniMAP.  

Seminar tersebut disampaikan tiga penceramah iaitu Timbalan Ketua Kluster Governan, Perundangan dan Pengurusan Awan MPN, Prof Dr. Roselina Ahmad Saufi; Ketua Pegawai Maklumat MPN,  Prof Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Sektoral Kementerian Perdagangan dan Industri  (MITI), Aida Syukrena Mohd Idris .

Antara pengisian sepanjang itu adalah mengenai kepentingan Revolusi Industri 4.0 dalam mencorakkan agenda pendidikan negara, selain itu juga, ia akan membantu para pensyarah melahirkan idea positif kepada revolusi industri dari aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta teknologi dan komunikasi.

Ia bagi memberi pendedahan kepada pensyarah tentang kesan revolusi industri terhadap penggunaan sumber tenaga kerja manusia di samping memperkenalkan inisiatif-inisiatif serta idea Revolusi Industri yang memanfaatkan universiti.