A+ A A-

Ban Nua Kampung Angkat UniMAP

21 Julai 2013

HATYAI: Kampung Ban Nua, yang terletak di wilayah selatan Thailand, di sini telah dilantik sebagai kampung angkat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sempena Program Liqa’ Mawaddah anjuran Pusat Bahasa Antarabangsa  (CIL) UniMAP, semalam.

Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, tujuan UniMAP mengambil Kampung Ban Nua sebagai kampung angkat adalah bagi membantu masyarakat Islam di situ dalam meningkatkan taraf pendidikan di kawasan terbabit.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) UniMAP kepada masyarakat bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malahan dalam bidang kerohanian,kebajikan dan lain-lain lagi.

“Kampung ini diletakkan di bawah lima jabatan iaitu, Pejabat Naib Canselor, Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Pusat Islam, CIL dan Majlis Perwakilan Pelajar bagi membantu masyarakat di sini mengikut keperluan yang akan dilihat nanti,”katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Masjid Ban Nua, di sini.

Turut bercemar duli berangkat hadir, Canselor UniMAP, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan  Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Jeneral Konsulat Malaysia di Songkhla, Mohd Faizal Razali, Ketua Polis Perlis, Dato’ Zull Aznam Haron dan Imam Masjid Ban Nua, Wisoot Lateh.

Terdahulu, seramai 30 mahasiswa dari UniMAP dan Raja Manggala Universiti of Technology Srivijaya melakukan kerja-kerja amal seperti gotong royong dan mengajar kanak-kanak di kampung terbabit.

Pada majlis itu juga, Majlis Agama Islamdan Adat Istiadat MelayuPerlis dan UniMAP turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada Imam Masjid Ban Nua.

Pengarah Program, Shafiq Hizwari Md Hashim berkata, program tersebut bakal menjadi aktiviti tahunan CIL pada masa akan datang.

“Saya berasa amat kagum dengan semangat bermuafakat yang ditunjukkan masyarakat di sini walaupun hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan kita akan sedaya upaya berusaha bagi membantu masyarakat di sini dalam perkara-perkara yang difikirkan perlu nanti,”katanya ketika ditemui semalam.