A+ A A-

Agenda Kelestarian Kampus Cabaran Mpkk Baharu

Kangar, 9 November – Penghuni kolej kediaman diingatkan agar menjaga sebaik mungkin rumah atau bilik asrama mereka kerana kemudahan itu bakal digunakan lagi bagi beberapa tahun mendatang.

Amanat itu disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dato Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Watikah Pelantikan dan Penghargaan Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) di Hotel Putra Regency, di sini, semalam.

Menurut Zul Azhar, MPKK yang baharu dilantik perlu memainkan peranan sepertimana ikrar dan tekad mereka selepas menerima watikah pelantikan bagi sesi 2017/2018 terhadap tanggungjawab mereka kepada kolej kediaman.

“MPKK juga sudah berjanji akan membantu universiti bagi mencapai hasrat universiti mewujudkan kampus lestari, maka inilah peluang dan cabaran baharu anda.

“Pengurusan UniMAP dan Pejabat Penolong Naib Canselor  Keusahawanan dan Kelestarian Kewangan juga turut berusaha mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak agar hasrat itu tercapai,” katanya.

Jelasnya, antara perancangan yang dicapai ialah berjaya mengumpul wang bagi penyediaan enam water dispenser di setiap kolej kediaman yang harganya mencecah RM20,000.

“Selain itu, sebuah pasaraya terkemuka di Arau turut bersetuju mendermakan bahan mentah kepada universiti dan InsyaAllah selepas ini setiap bulan kita adakan gotong-royong kenduri beramai-ramai bersama MPKK dan mahasiswa lain,” katanya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan, Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman Hirwan Jasbir Jaafar serta pengetua-pengetua kolej kediaman UniMAP.

Terdahulu, Yang Dipertua MPKK Sesi 2017/2018 Kolej Kediaman Pauh Putra Muhammad Nur Ashmir Harun berkata MPKK sesi baharu bertekad menjadi penghubung pengurusan kolej kediaman dan rakan-rakan penghuni yang lain.

“Kami juga berazam untuk membantu rakan-rakan yang mengalami masalah kewangan agar mereka juga dapat meneruskan pengajian dengan baik.

“Di samping itu, kami turut menyokong agenda kelestarian kampus dan sedaya upaya akan membantu menerusi aktiviti atau program di kolej kediaman yang dianjurkan,” katanya yang berucap mewakili semua MPKK baharu.

Dalam majlis itu seramai 94 MPKK baharu menerima watikah pelantikan dan 84 MPKK sesi lalu menerima sijil penghargaan di atas komitmen mereka sepanjang sesi 2016/2017 bagi enam buah kolej kediaman.