- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
SIRaj V - Menelusuri Sejarah Kesultanan Alam Melayu di Makassar Indonesia
Makassar, Indonesia - Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti (IKRK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Seminar Institusi Raja Kelima (SIRaj V) 2017 pada 10 hingga 13 November yang lalu di Swiss Bel Hotel, Makassar.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, selain berkongsi sejarah institusi raja di kedua-dua buah negara, seminar itu juga diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat untuk menghayati peranan raja dalam sistem Raja Berpelembagaan.
Selain itu, ujar beliau, SIRaj V yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Islam Negeri (UIN) Alauddin, Makassar juga merupakan platform terbaik untuk berkongsi ilmu tentang corak pemerintahan beraja di negara jiran dan pada masa sama membuka peluang mempelajari sejarah kesultanan di kota tersebut.
“Secara kebetulan, kunjungan kami dalam menjayakan seminar yang bertemakan Kesultanan Alam Melayu” itu adalah bertepatan dengan sambutan ulang tahun Kota Makassar yang ke-410,” ujarnya.
SIRaj V yang turut mendapat kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Berhad, Yayasan UniMAP, UniMAP Holdings dan Proven Group of Companies telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Menurut Prof. Dr. Zul Azhar, sebanyak tiga slot pembentangan disediakan iaitu pembentangan Sejarah Di-Raja Perlis oleh Pengarah IKRK UniMAP, Datuk Prof. Dr. Ramlah Adam manakala pembentangan kedua oleh Rektor Universitas Cokroaminoto Makassar, Prof. Dr. H. Muhammad Asdar, S.E, M.Si manakala slot terakhir menampilkan perkongsian sejarah oleh tiga Raja serta Sultan di Wilayah Sumatera Selatan itu sendiri iaitu Raja Gowa, Raja Galewong dan Sultan Demak.
Beliau menjelaskan, sebanya tujuh resolusi telah dicapai menerusi penganjuran seminar tersebut iaitu Institusi Raja adalah asas tamadun bangsa yang patut didokong sepanjang masa; agama Islam adalah teras budaya bangsa yang memperkukuhkan keimanan; sejarah dan kerajaan lalu warisan patut diperkukuhkan sebagai teras jati diri dan pertalian darah silaturahim yang baik serta menjaga dan mempertahankan kelastrian adat budaya bangsa.
Selain itu, ujat beliau SIRaj V juga bersetuju untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama akademik antara UniMAP dan UIN Alauddin; mengukuhkan hubungan serumpun sebangsa Indonesia dan Malaysia selain memahami sejarah dan warisan masa lepas sebagai satu ilmu membina jati diri bangsa untuk masa kini.
Selain pembentangan kertasa kerja, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, turut berkenan bercemar duli mengetuai sesi “wisata sejarah” Kesultanan Gowa ke tiga lokasi utama iaitu Muzium Balla Lampoa, Makam Sultan Hassanuddin dan Masjid Tertua Katangka.
Yang turut menyertai lawatan tersebut Pengarah Unit Komunikasi Korporat UniMAP, Mustaffa Ismail dan Ketua Lembaga Penelitian dan Pengabadian Masyarakat Universiti Islam Negeri (UIN) Alauddin Makassar, Prof. Dr. Muhammad Salleh Tajuddin.
Menurut Prof. Dr. Ramlah, sesi lawatan tersebut diharap dapat meningkatkan kefahaman mengenai sejarah dan warisan sebagai satu ilmu yang amat penting bagi membina jati diri bangsa dalam menghadapi cabaran baik di masa kini atau di masa hadapan.
Destinasi pertama lawatan ialah ke Muzium Balla Lampoa yang didirikan oleh pemerintahan Raja Gowa ke-31 pada tahun 1936 yang menampilkan seni bina bangunan berbentuk rumah khas orang Bugis, iaitu rumah panggung yang diperbuat dari kayu ulin atau kayu besi.
Muzium ini pada dasarnya menjadi lokasi penyimpanan koleksi barang-barang berharga Kerajaan Kesultanan Gowa yang dapat diselamatkan sebelum penjajahan antaranya mahkota, gelang, kancing, kalung, keris dan perhiasan lain yang diperbuat dari emas.
Delegasi UniMAP seterusnya di bawa ke Makam Pahlawan Nasional Sultan Hassanuddin yang terletak di kompleks pemakaman raja-raja Gowa di Katangka, Somba Opu, Gowa. Selain Sultan Hassanuddin, ia turut menempatkan makam Sultan Alauddin - Sultan yang mengembangkan agama Islam pertama di Kerajaan Gowa.
Destinasi terakhir delegasi ialah ke Masjid Tertua Katangka yang terletak di Jalan Sheikh Yussof dan terletak tidak jauh dari makam Sultan Hassanuddin. Difahamkan masjid tersebut telah berusia melebihi 400 tahun seringkali menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Indonesia.
Di sini, selain meninjau sejarah, delegasi UniMAP turut berpeluang menunaikan solat Zohor berjemaah bersama-sama penduduk setempat.Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM1,000 atas kapasiti baginda selaku Yang Dipertua MAIPs.