A+ A A-

PPK PEMBUATAN UNGGULI OLAHRAGA TERTUTUP UniMAP

Pauh Putra, 19 November – Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Tertutup Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kali ke-13 yang berlangsung selama dua hari mulai 18 November.

Pada kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP itu, PPK Pembuatan meraih lapan pingat emas, dua perak dan dua gangsa mengatasi saingan terdekat dari Pusat Pengajian Diploma yang mencatat lima pungutan pingat emas, enam perak dan dua gangsa.

PPK Komputer dan Perhubungan pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan pungutan empat emas, enam perak dan satu gangsa.

Pendaftar UniMAP Zuber Hj Mohamed ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP 2017 itu berkata, penganjuran kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan bagi mencari bakat-bakat baru mewakili UniMAP tetapi juga sebagai salah satu acara semua warga UniMAP mengenali antara satu sama lain.

“Saya yakin melalui kejohanan ini mewujudkan hubungan yang erat antara warga UniMAP tanpa mengira bangsa agama dan pangkat sekaligus menterjemah semangat Satu Malaysia yang diterapkan selama ini.

“Justeru saya berharap penganjuran kejohanan ini dapat menjadi pemangkin dalam usaha menggilap bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang bakal berlangsung awal tahun hadapan,’’ katanya yang berucap mewakili Naib Canselor UniMAP.

Turut hadir Pengarah Pusat Sukan Suhizaz Sudin dan ketua-ketua jabatan UniMAP.

Pada kejohanan itu pelajar PPK Pembuatan Krishnan Somunaidu dinobatkan sebagai Olahragawan Kejohanan manakala Wong Qiau Hui yang juga dari PPK Pembuatan dinobatkan sebagai Olahragawati.

Fakulti Teknologi Kejuruteraan pula mencatat kejayaan dalam pertandingan rumah tercantik sempena kejohanan berkenaan manakala PPK Bioproses mendominasi acara perbarisan.

Dalam kejohanan tahunan UniMAP itu, seramai 414 pelajar UniMAP mengambil bahagian dalam 28 acara dipertandingkan.