A+ A A-

PENYELIDIK UniMAP CEMERLANG DI SIIF 2017, KOREA SELATAN

Kangar, 3 Disember –Produk penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya memperolehi pencapaian cemerlang seratus peratus pingat dalam Seoul International Invention Fair (SIIF) 2017 yang diadakan di COEX Convention Centre, Seoul, Korea Selatan bermula 30 November hingga 3 December 2017.

Delegasi penyelidik UniMAP yang diketuai oleh Timbalan Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Dr Mohd Rashidi Che Beson telah mempertandingkan 12 produk penyelidikan dan telah memenangi lapan emas dan empat gangsa.

Lebih bermakna, salah satu produk penyelidikan tersebut dibawah penyelidik Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi dengan tajuk Carbon Dioxide (CO2) Capture Using the Downflow Gas Contactor (DGC) Reactor telah dinobatkan produk penyelidikan terbaik pertandingan ini dengan memenangi anugerah tertinggi GRAND PRIZE SIIF 2017.

Dr Midhat berkata produk penyelidikannya adalah untuk memerangkap gas karbon dioksida (CO2) dengan begitu efisien, yang mana ianya dapat menyumbang kepada penurunan kesan pemanasan global dunia.

Katanya, produk itu dibangunkan sejak 2012 selepas dunia kini sedang menghadapi kesan pemanasan global yang dijangkakan akan menjadi semakin kritikal tahun demi tahun.

“ Jika pembebasan gas CO2 dibiarkan berlarutan, kesan pemanasan global akan meningkatkan suhu purata dunia yang mana kesannya akan mencairkan ais di kutub utara dan selatan yang akhirnya akan menyaksikan banyak kawasan-kawasan rendah di dunia ini akan ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi,hari ini.

Selain itu, Dr Midhat turut membawa produk Artificial Bone Produced by Supercritical Carbon Dioxide Processing.

Selain beliau, penyelidik UniMAP yang memenangi pingat emas antaranya Prof. Madya Dr Muzamir Isa dengan produk penyelidikan New Wireless Inductive Coil Sensor for Smart Online Partial Discharge Monitoring System in High Voltage Power Cable serta Dr Mohd Rashidi Che Beson dengan produk penyelidikan VLC-OCDMA Based on Dual Diffuser Modulation for Underwater Wireless Communication, Dr Liew Yun Ming dengan produk penyelidikan Groutmedic: A Novel Grout Material, Dr Allan Melvin Andrew dengan produk Anti-ThPRO: A Novel Electromagnetic and Thermal Graded-Z Shielding For Large Scale Glovebox in Nuclear Industry, Dr Mohammad Faridun Naim Tajuddin dengan produk penyelidikan Differential Evolution Based Maximum Power Point Algorithm For Optical Extraction of Photovoltaic Energy dan Dr Mohd Zakimi Zakaria dengan produk penyelidikan Wheelcare Dentistry: Innovation of Supporter Chair for Disable Patients.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Dato Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata tiga daripada penyelidik UniMAP itu juga telah memperoleh anugerah khas di pertandingan ini iaitu Dr Mohd Rashidi Che Beson mendapat anugerah khas Indonesian Innovation and Invention Promotion Association INNOPA Indonesia, Dr Midhat mendapat anugerah khas National University of Science and Technology Russia serta Dr Liew Yun Ming mendapat anugerah khas Indonesian Innovation and Invention Promotion Association INNOPA Indonesia dan National Research Council of Thailand.

Ujarnya, ini merupakan pencapaian cemerlang penyelidik UniMAP di SIIF yang amat membanggakan.

SIIF 2017 merupakan anjuran tahunan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA).

Selain Malaysia dan tuan rumah Korea Selatan, pertandingan penciptaan yang berprestij ini juga dihadiri oleh peserta dari lebih dari 20 buah negara.