A+ A A-

CENVIRON 2017: Usaha Mewujudkan Persekitaran Hijau dan Mampan

Georgetown, 30 November - Isu pengurusan pembangunan perlu diberi pandangan serius dalam merangka dan mengurus dengan mengambil kira aspek penjagaan alam sekitar

Keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar mesti dilakukan bagi mengelakkan berlakunya pelbagai masalah seperti hakisan tanah, pencemaran sungai dan sebagainya.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Uda Hashim berkata, jumlah penyelidikan dalam bidang pembangunan dan alam sekitar telah meningkat dalam usaha untuk mengekalkannya demi generasi muda di masa hadapan.

“Kerjasama dari pihak industri dan penyelidik serta ahli akademik akan merancakkan lagi percambahan idea-idea baharu dalam melaksanakan pembangunan tanpa mengamcam alam sekitar,”katanya ketika berucap merasmikan International Conference on Civil and Environmental Engineering (CENVIRON 2017)  yang berlansung di Flamingo Hotel by The Beach, Pulau Pinang baru-baru ini.

Seminar selama dua hari itu mengumpulkan lebih 110 kertas kerja yang disertai lima buah negara termasuk Thailand, Yemen, India,  dan tuan rumah Malaysia.

Bertemakan “Ke Arah Persekitaran Hijau dan Mampan” CENVIRON 2017 yang julung kali diadakan anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar UniMAP.

Antara pembentang kertas kerja utama adalah, Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP  Prof. Emeritus Ir. Datuk Dr. Zainai Mohamed, Pengarah Eksekutif Construction Research Institute of Malaysia (CREAM), Ir. Dr. Zuhairi Abd. Hamid, Profesor Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Malaya, Dr. Nik Meriam Nik Sulaiman dan Profesor Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi PETRONAS, Dr. Suzana Yusup.

Ujar Dr. Uda lagi, CENVIRON 2017 bakal menjadi platfom terbaik bagi ahli akademik, penyelidik, industri, organisasi korporat dan kumpulan kepentingan dalam pelbagai asas dan aplikasi yang berkaitan dengan kejuruteraan dan alam sekitar.

“Selain dari itu, saya juga mengharapkan agar lebih banyak program ke arah mengukuhkan pembangunan dan penyelidikan seperti peningkatan jumlah staf akademik yang berkelayakan PhD serta kerjasama dengan universiti di seluruh dunia,” katanya lagi.