- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
ENAM PENSYARAH SEMARAKKAN PROGRAM MOBILITI DI UNIVERSITI NAHDA
Pauh Putra, 4 Disember – Seramai enam pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menyertai persidangan serta pensyarah kunjungan di Universiti Nahda, Mesir.
Mereka ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar(PPKAS), Prof Madya Dr Nasrul Hamidin dan Dekan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan & Teknousahawan (PPIPT), Dr Tunku Salha Tunku Ahmad yang dijemput sebagai pembentang kertas kerja di persidangan The 1st International Conference on Science, Technology & Entrepreneurship.
Manakala, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Komputer & Perhubungan (PPKKP) Dr Muzammil Jusoh, Pensyarah Kanan PPKKP Dr Rozmie Razif Othman dan Dr Mohd Zukimie Mat Junoh serta Pensyarah Kanan PPKAS Dr Nik Zainab Nik Azizan pula bagi program mobiliti staf iaitu pensyarah kunjungan ke universiti itu.
Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata pelaksanaan program itu adalah rentetan beberapa program yang dilaksanakan susulan memorandum persefahaman di antara UniMAP dengan Universiti Nahda sebelum ini.
Ujarnya, pada Ogos lalu seramai lapan pelajar Universiti Nahda menyertai program ‘inbound mobiliti’ di UniMAP selama dua minggu.
“Program-program ini juga adalah salah satu pendekatan UniMAP bagi menyerlahkan keterlihatan universiti ini ke peringkat antarabangsa.
“Saya berharap peluang ini dapat digunakan bagi mewujudkan lebih banyak kerjasama yang boleh diwujudkan dalam apa jua cara terutama berkaitan bidang pusat pengajian masing-masing,” kata beliau ketika menyampaikan amanat kepada delegasi itu, di sini, hari ini.
Delegasi pertama bagi program mobiliti staf akan ke sana mulai 7 hingga 25 Disember manakala pembentang kertas kerja pula mulai 13 hingga 23 Disember.
Tambah Zul Azhar, mereka yang terpilih dan dijemput itu juga diharapkan dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan baik dan memperolehi pengalaman yang dapat dimanfaatkan di UniMAP kelak.