- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
BFOS Taja Pelajar Yemen Ke UniMAP
17 Februari 2013
PAUH PUTRA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Dana Kebajikan Untuk Pelajar Cemerlang (BFOS), Yemen, menandatangani satu Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menaja 36 pelajar Yemen menyambung pengajian di UniMAP.
Pada majlis MoU yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP, di sini, semalam, UniMAP diwakili, Naib Canselornya, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin manakala BFOS, Yemen, diwakili Pengerusinya Dr. Meshal Sheban.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Kamarudin berkata, semua pelajar tajaan BFOS ini akan mengikuti Kursus Intensif Bahasa Inggeris (IEC) selama enam bulan di UniMAP dan ia merupakan kursus persediaan bagi pelajar-pelajar antarabangsa sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah.
“Sepanjang lima tahun kursus ini ditawarkan sejak 2009, ia semakin mendapat sambutan yang baik terutamanya dari Thailand, Indonesia, Uzbekistan, Somalia, Arab Saudi, Burkina Faso dan Nigeria.
“Sekarang kita mempunyai seramai 107 pelajar yang sedang mengikuti kursus IEC di UniMAP dan 36 daripadanya merupakan pelajar dari Yemen yang ditaja BFOS, “katanya ketika berucap pada majlis itu semalam.
Turut hadir, Dekan Pusat Teknologi Komunikasi dan Pembangunan Insan UniMAP, Prof. Dr. Salleh Abd. Rashid dan Shafiq Hizwari Md Hashim, Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa UniMAP.
Sementara itu, Pengerusi BFOS, Dr. Meshal Sheban, dalam ucapannya berkata, pihaknya berminat untuk menaja pelajar ke UniMAP kerana kemudahan yang disediakan bagi pelajar antarabangsa amat selesa.
“Kita bercadang untuk menaja 36 lagi pelajar untuk semester akan datang bagi melanjutkan pelajaran di UniMAP, ini kerana kami amat berpuas hati dengan kemudahan dan cara pembelajaran yang disediakan UniMAP kepada para pelajarnya,”katanya.
Katanya lagi, kesungguhan UniMAP dalam menyediakan penempatan dan kampus baru iaitu UniCiti di Sungai Chuchuh menarik minat kami untuk menghantar lebih ramai pelajar menyambung pelajaran di UniMAP.