A+ A A-

BFOS, UniMAP Jalin Kerjasama Untuk Penajaan Pelajar Yemen

RIYADH, 2 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Benevolent Fund for Outstanding Student (BFOS) menjalin kerjasama untuk penajaan 79 pelajar Yemen melanjutkan pengajian mereka dalam bidang kejuruteraan di universiti itu.

Dekan Pusat Kejuruteraan dan Inovasi UniMAP Prof Madya Che Mohd Ruzaidi Ghazali berkata para pelajar itu akan mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris (IEF) selama enam bulan di UniMAP sebelum meneruskan pengajian mereka di peringkat ijazah.

BFOS, yang merupakan pembekal dana untuk pelajar cemerlang di Yemen, akan memantau perkembangan penuntut tajaan mereka bagi memastikan kesemuanya berjaya dalam pengajian, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili UniMAP menandatangani perjanjian kerjasama itu di sini, malam tadi, manakala

BFOS, badan yang diasaskan pada 1989 itu diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya Dr Omar Abdullah Bamahsoon.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis sempena program lawatan kerja dua hari Raja Muda Perlis ke Riyadh itu diadakan di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Al Sagaff.