- Kategori: BERITA - Malay
Catatan Penulis: Masjid Raya Baiturrahman Bukti Kekuasaan Allah
Banda Acheh, 16 Februari – Sewaktu kali pertama dimaklumkan terpilih mengikuti Kembara Ilmu di Bumi Acheh yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan (IKSK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 13 hingga 15 Februari, perkara pertama yang terlintas di benak saya ialah wajib berkunjung ke Masjid Raya Baiturrahman.
Terlalu banyak cerita yang dibaca selepas peristiwa dan kejadian tsunami melanda Banda Acheh pada 26 Disember 2004 yang lalu, terutama keadaan fizikal masjid tersebut yang masih kukuh walaupun keadaan persekitaran musnah akibat arus deras.
Selain itu, cerita-cerita masjid itu dijadikan pusat pengumpulan mayat tanpa meninggalkan kesan bau turut membangkitkan keinginan saya untuk berkunjung ke masjid yang menjadi mercu tanda dan kemegahan Islam warga Acheh yang berjumlah sekitar empat juta orang itu.
Kebanyakan cerita tersebut saya dengar hasil pengalaman rakan-rakan wartawan di Utusan Malaysia yang membuat liputan bencana tsunami di Acheh ketika itu dan sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke perkarangan masjid Baiturrahman, perasaan sayu dan hiba menyelubungi diri ini.
Maha Suci Allah, yang mendatangkan musibah tsunami dan saat yang menyedihkan buat warga Acheh namun Allah jugalah yang memberikan nikmat yang sungguh indah apabila melihat keadaan struktur fizikal masjid yang begitu indah dan tesergam megah, 11 tahun selepas bencana berlaku.
Masjid yang merupakan hasil rekaan seorang arkitek dari Itali itu di bina oleh kolonial Belanda sebagai simbolik perdamaian berikutan kemusnahan masjid lama oleh Belanda sewaktu berlakunya perang Aceh. Ia dikatakan mula di bina pada tahun 1879 dan selesai sepenuhnya pada tahun 1881.
Seni reka masjid ini melambangkan pengaruh kolonial Belanda yang begitu kuat dengan turut menggabungkan unsur binaan seni reka India dengan struktur binaan menara yang kukuh.
Ruang dalaman yang didominasi warna putih membangkitkan satu perasaan yang cukup mendamaikan selain penggunaan batu marmar putih di ruang solat yang terbuka dengan tiupan angin yang menyamankan.
Berada dalam masjid tersebut seolah-olah mengembalikan kenangan berkunjung ke Masjidil Haram di Makkah. Maha Suci Allah, pengalaman yang diraih ini cukup indah dan akan dikenang sehingga ke akhir hayat saya.
Dalam sesi lawatan itu juga, Delegasi UniMAP yang diketuai oleh Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin turut menunaikan solat berjemaah selain menyampaikan sumbangan wang tunai untuk pengurusan dan pentadbiran masjid.
Berkenan berangkat hadir, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail.