A+ A A-

Cuaca Panas Hangatkan Jamboree Basikal Bukit UniMAP

Pauh Putra, 28 Mac - Panas terik tidak menghalang 600 peserta terus beraksi di Kejohanan Jamboree Basikal Bukit Terbuka UniMAP Nature Ride 2015.

Kejohanan anjuran Persatuan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kelab HOW-MTB itu dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Datuk Zul Azhar Zahid Jamal pada jam 7.45 pagi, hari ini.

Pengarah Kejohanan,Dr Luqman Musa berkata rata-rata peserta mendakwa trek basikal bukit UniMAP sangat bagus namun keadaan muka bumi yang kering dan cuaca panas memberi cabaran yang agak tinggi kepada mereka.

Katanya, walaupun keadaan yang berdebu peserta tetap meneruskan aksi dan bersaing sehingga ke garisan penamat.

"Ini dibuktikan pasangan adik beradik Seh Hong Cheng dan Seh Hock Seng yang berjaya menghabiskan saingan dan menjadi juara bagi kategori Veteran manakala bagi kategori Lelaki Terbuka dijuarai oleh pasukan Cyclomotion.

Menurut Luqman, bagi kategori Wanita Terbuka serta Junior didominasi pasukan dari Giant SBS manakala kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) diraih peserta dari Politeknik Syed Sirajudin yang merupakan peserta terawal tiba di garisan penamat.

"Setiap kategori ditawarkan sebanyak 10 hadiah kecuali bagi kategori Lelaki Terbuka yang menawarkan 20 hadiah.

"Selain itu, hadiah cabutan bertuah berupa basikal dan alat ganti basikal tajaan pelbagai agensi dan syarikat bernilai RM20,000 dengan penaja utama GIANT turut ditawarkan,"kata beliau.

Terdahulu kejohanan ini mendapat penyertaan seramai 535 peserta sebelum jumlah itu bertambah kepada 600 peserta pada hari ini apabila ramai peserta terutama peserta individu setempat mendaftar sebelum kejohanan bermula.

Kejohanan ini turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa agensi lain bagi melancarkan sepanjang kejohanan berlangsung.