- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pensyarah UniMAP Terpilih Program CSR Sains Pengkomputeran
Kangar, 10 Januari – Tiga pensyarah Universiti Malaysia Perlis berjaya terpilih sebagai Jurulatih Utama (Master Trainer) bagi memberikan latihan kepada 100 guru-guru sekolah di seluruh negeri ini.
Mereka adalah Dr Syed Zulkarnain Syed Idrus dan Dr Wan Nor Ashiqin Wan Ali dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) serta Dr Hasnah Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan (PPKKP) UniMAP.
Program berkenaan adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ,Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan UniMAP bagi mengintegrasikan modul pemikiran komputasi dan sains pengkomputeran ke dalam kurikulum sekolah.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program itu adalah antara program tanggung jawab sosial universiti (USR) ‘mega’ UniMAP kepada komuniti di negeri ini khasnya guru-guru.
“Program CSR ini sekaligus memberi peluang kepada UniMAP berkongsi kepakaran yang dimiliki dalam bidang sains komputer untuk manfaat warga pendidik di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, menerusi program itu, UniMAP turut dipilih sebagai pusat kursus pengembangan Profesional (Continous Professional Development) berdasarkan saranan industri untuk meningkatkan kesediaan pendidik.
“Pusat itu berperanan bagi program Sijil Pengajaran Sains & Komputer untuk guru di negeri Perlis serta meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru dalam pengajaran sains komputer.
“Selain itu, pusat berkenaan turut merangkumi program jangkauan berdasarkan konsep pembuat digital, pengaturcaraan dan robotik kepada pelajar sekolah selain sebagai titik rujukan untuk ‘Digital Hub’ di zon utara khususnya negeri Perlis,” kata beliau dalam sebuah kenyataan di sini.
Terdahulu, Dekan PPKKP, Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata sebelum itu, setiap pensyarah UniMAP yang terpilih perlu melalui bengkel hands-on selama lima hari di Cyberjaya.
“Pensyarah yang terpilih ini perlu melengkapkan tugasan untuk kelayakan sebagai Jurulatih Utama pada 21 hingga 26 Januari ini bagi Pensijilan Kemahiran Komputasional dan Komputer Sains Dalam PdP ,” katanya ketika dihubungi di sini.
Pada tahun lalu, seramai 35 pensyarah dari enam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara telah diiktiraf sebagai Jurulatih Utama untuk melatih guru bagi kursus pensijilan yang sama sebelum menambah lapan lagi IPTA bagi tahun ini.