A+ A A-

Program Memperkasa Bahasa Melayu Wilayah Andaman 2018 PBA, UniMAP-Sekolah Fahad Wittayathan

Kangar, 15 Januari – Program  memperkasa bahasa Melayu anjuran Pusat Bahasa dan Antarabangsa (CIL) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di wilayah Phangnga selatan Thailand terus mendapat sambutan menggalakkan dari sekolah-sekolah di wilayah itu.

Ini jelas terbukti apabila salah sebuah sekolah di wilayah itu iaitu Sekolah Fahad Wittayathan serius memperluaskan bahasa Melayu dengan menjadikan subjek itu sebagai subjek teras kurikulum di sekolah mereka sekaligus mahu menjadikan sekolah itu sebagai pusat sehenti pendidikan bahasa di wilayah berkenaan.

Seramai empat guru bahasa iaitu Mohamad Zaki Abdul Halim, Wan Norhaizar Harun, Sareepa Jeware dan Nurul Syazwani Zulkifli terlibat bagi program yang memasuki fasa keenam itu bermula 10 hingga 14 Januari lalu.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata kerjasama antara UniMAP dan sekolah itu yang diperkukuhkan sebelum ini adalah dengan matlamat memperkasa bahasa Melayu di wilayah Phangnga yang dilaksanakan sejak 2015.

“Sekolah Fahad Witthayatan adalah sekolah angkat UniMAP kini telah melaksanakan sukatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah mereka yang melibatkan pelajar tahun 1 hingga tahun 6 sebagai subjek kokurikulum.

“Selain UniMAP, program kali ini turut mendapat perhatian dan penglibatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis dan Politeknik Syed Sirajuddin (PTSS),” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP berkenan bercemar dulu merasmikan majlis penutup program sempena Ziarah Mahabbah baginda berdua ke Wilayah Trang.