A+ A A-

MYTREEVOLUTION Didik Mahasiswa UniMAP Cintakan Kampus

Pauh Putra, 10 Februari – Pokok mahogani, jati dan karas antara pokok yang bakal menjadi penghias sekitar kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam usaha melestarikan kawasan hijau.

Projek menanam pokok buat julung kalinya di UniMAP itu dikenali sebagai program “MyTreeVolution, National Forest Restoration Project” (myTREEvolution iCSR) adalah anjuran Majlis Profesor UniMAP dengan kerjasama Jabatan Pembangunan, Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP , Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP dan MyTreeVolution Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP bertuah kerana program berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Perhutanan  yang bersedia menyediakan bekalan anak-anak pokok bagi menjayakan program itu.

Ujarnya, penggerak bagi melaksanakan myTREEvolution iCSR terdiri daripada Felo CEO@Faculty Programme 2.0 iaitu sekumpulan pensyarah dari semua Universiti Awam di Malaysia manakala jawatankuasa myTREEvolution iCSR akan bertindak sebagai penyelaras bagi melancarkan program ini.

“Di UniMAP, seramai 50 pelajar Diploma dan staf terlibat khususnya mereka yang mempunyai minat yang tinggi terhadap aktiviti menghijaukan kampus selain turut mengalu-alukan mana-mana agensi kerajaan mahupun korporat yang berminat menyertai projek ini,” katanya ketika pelancaran program berkenaan di Dataran AUPF, Kampus UniMAP, di sini.

Turut hadir, pengurusan tertinggi UniMAP serta Pengarah INSAT UniMAP Prof Madya Dr Mahmad Nor Jaafar.

Menurut Zul Azhar, antara objektif program berkenaan ialah bagi memupuk rasa cintakan alam sekitar di kalangan pelajar dan staf selain rasa sayangkan kampus dengan menanam pohon hijau di sekitar kampus.

“Saya percaya, walaupun pelajar mahupun staf sibuk dengan urusan pengajian dan tugasan masing-masing namun menerusi program seperti ini mereka sentiasa sedar tanggungjawab mereka mencintai kampus ini seterusnya memelihara dengan baik.

“Sudah banyak unit-unit mahupun pusat pengajian UniMAP di sekitar negeri ini berpindah ke kampus ini,justeru langkah awal mencantikkan serta menghijaukan kampus harus bermula sekarang,” katanya.