A+ A A-

Makmal Pengujian Universiti Malaysia Perlis Mendapat Akreditasi MS ISO/IEC 17025

KANGAR, 5 MAC – Usaha Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk diterima pihak industri semakin membuahkan hasil apabila salah satu Makmal Pengujian(UTL), diiktiraf menepati standard antarabangsa MS ISO/IEC 17025: 2005.

Anugerah sijil akreditasi bidang pengujian mekanikal dan kimia itu diumumkan Jabatan Standard Malaysia (DSM) dalam laman sesawang jabatan tersebut baru-baru ini.

Menurut Pensyarah Kanan,  Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan UniMAP, Prof. Madya Dr. Khairel Rafezi Ahmad berkata, pengiktirafan tersebut sah untuk tempoh tiga tahun bermula Februari 2018 hingga Februari 2021 melibatkan lima skop ujian.

 “Kelima-lima ujian tersebut adalah  tegangan (tensile test), kekuatan mampatan (compressive strength), pH serta suhu bagi air sisa, permukaan, minuman dan air bawah tanah, ujian penentuan kandungan Plumbum bagi air domestik, industri, osmosis berbalik (reserve osmosis), air mineral dan air ultrapure dan ujian FTIR bagi pelbagai pelarut.

“Ujian ini boleh melibatkan makmal di PPK Bahan, Alam Sekitar dan Bioproses, “katanya ketika dihubungi baru-baru ini.  

Ujar Khairel lagi, pengujian dibawah pengiktirafan Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) bukan sahaja memenuhi keperluan pengurusan dan teknikal untuk pengujian serta kecekapan pengukuran malah turut beroperasi di bawah Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001.

“Pengiktirafan itu merupakan jaminan kepada ketepatan standard pengukuran yang diterima pakai di peringkat antarabangsa seperti Australia, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

 “Kita mengalu-alukan pihak industri, perusahaan kecil dan sederhana (SME), institusi- institusi kerajaan dan swasta, universiti, para penyelidik, pelajar dan induvidu yang berminat untuk melakukan ujian-ujian di sini,”katanya lagi.