A+ A A-

Delegasi UniMAP Diraikan Pelajar Perlis Di Mesir

Kaherah, 23 Februari – Delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Hamid Adom disambut meriah oleh 80 pelajar dari Keluarga Pelajar Perlis (KPP) ketika melawat mereka di Rumah Perlis di sini, baru-baru ini.

Prof. Dr. Abdul Hamid yang mewakili Naib Canselornya berkata, lawatan ke Rumah Perlis ini bertujuan bagi merapatkan silaturrahim dengan pelajar-pelajar dari Perlis yang menyambung pengajian di Mesir.

“Saya berharap agar pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan memanfaatkan peluang untuk belajar di Mesir dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Malah beliau turut menyampaikan pesanan daripada Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti yang boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan mereka.

Delegasi tersebut juga turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk wang ringgit serta buku-buku terbitan UniMAP kepada mereka dalam satu majlis ringkas.

Terdahulu, pada tahun 2005, Rumah Perlis telah dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizudin Putra dan merupakan premis kedua di bawah jagaan KPP yang diletakkan di bawah hakmilik kerajaan Malaysia.

KPP merupakan satu badan kebajikan yang berfungsi menyatu-padukan anak negeri Perlis yang belajar di Mesir. Pada tahun 2011 pula, KPP mendapat sumbangan daripada MIDF untuk pembinaan dewan yang selesai pembinaannya pada pertengahan 2013. 

DELEGASI UniMAP DIRAIKAN PELAJAR PERLIS DI MESIR   a) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)   b) Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)   c) Keluarga Pelajar Perlis (KPP)   d) Rumah Perlis