A+ A A-

408 Penyertaan Semarakkan i-ENVEX 2018

Pauh Putra, 15 April – Sebanyak 408 penyertaan pada International Engineering Invention and Innovation Exhibition (i-ENVEX) 2018 yang berlangsung mulai 13 hingga 15 April di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata daripada jumlah itu, 163 penyertaan dari sekolah menengah, 92 dari UniMAP sendiri, dan 72 penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) manakala penyertaan antarabangsa pula adalah 81 penyertaan dari 16 buah negara.

“Antara negara yang menyertai ialah India, Taiwan, Hong Kong, China, Macau, Thailand, Indonesia, Kanada , Romania, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Vietnam, Laos, Bangladesh dan Filipina.

“Penganjuran pameran bertaraf antarabangsa ini adalah bagi memberi pendedahan awal dan menggalakkan pelajar sekolah serta mahasiswa untuk terlibat dalam bidang penyelidikan dan inovasi seterusnya memperkasakan kebolehan serta penciptaan pelajar ke platform lebih tinggi,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian Penutup i-ENVEX 2018, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Program Prof Madya Dr Mustafa Al-Bakri Abdullah.

Terdahulu, produk  Sistem Ternakan Ayam Organik E-Lips hasil inovasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan dan Green-based Antibacterial Hand Sanitizer Serum (GreeSS) ciptaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang mengungguli i-ENVEX Best of The Best Award.

Sementara itu, produk ciptaan penyelidik UniMAP iaitu Human Representative Humanoid Robot daripada penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) memperolehi UniMAP Vice Chancellor Award,selain produk XDM :Ultimate Elimination of Dengue Fever Using Herbal Larvicide Membrane Technology hasil ciptaan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar meraih i-ENVEX Special Award manakala Wireless Network Scalling for Chicken Farm  meraih i-ENVEX Best Award Classed A (Agriculture, Environmental & Renewable Energy).

Selain itu, bagi anugerah khas antarabangsa produk Self Cleaning Geopolymer Paste daripada PPK Alam Sekitar serta produk An Environmental Friendly Synthetic WOOD PANEL  daripada FTK masing-masing meraih National Institute for Research and Development in Environmental Protection (INCDPM) Romania Award on Environmental  Protection.