A+ A A-

HADIAH SYAWAL : UniMAP RAIH 4 PINGAT EMAS DI KOREA

Seoul, Korea – Pengorbanan menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Malaysia berbaloi apabila delegasi penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menyertai International Youth Invention Contest (IYIC 2013) meraih kejayaan 100 peratus dengan  membawa pulang empat pingat emas dan dua pingat perak menerusi enam produknya yang dipertandingkan.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan itu pastinya sangat bermakna buat penyelidik muda UniMAP yang terpaksa menghabiskan minggu terakhir puasa sekaligus menyambut syawal di perantauan apabila turut membawa pulang lima anugerah khas.

Ujar beliau, kesemua enam produk UniMAP itu perlu melepasi pusingan awal terlebih dahulu membabitkan 1,000 produk penyelidikan sebelum penganjur memilih hanya 103 produk terbaik untuk diberikan pingat dan penghargaan khas.

 “Alhamdulillah, kesemua produk yang dihantar ke IYIC 2013 berjaya ke pusingan akhir dan menghasilkan pingat buat delegasi UniMAP. Walaupun pertandingan ini di laksanakan dalam bulan puasa dan juga pada hari raya, pelajar dan staf kita dengan semangat yang kental dapat membuktikan kehebatan dengan membawa pulang pingat emas dan perak untuk UniMAP. Syabas!,” ujarnya yang dipetik dari laman rasmi Facebook beliau.

 IYIC 2013 yang berlangsung dari 6-9 Ogos lalu disertai oleh 10 buah negara menerusi 1,000 produk penyelidikan. Dalam pertandingan tersebut, delegasi penyelidik muda dari Taiwan mengungguli tangga teratas pungutan pingat dengan lapan pingat emas dan lima pingat perak.

 Pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Zarina Yahya menerusi produknya Novel Palm Oil Fly Ash (Pofa) Geopolymer CompositeNew Technology Approach Using Geopolymerization Process  For X-Ray Shielding yang turut meraih Anugerah Khas World International  Intecllectual Property Association (WIIPA).

 Turut meraih anugerah khas WIIPA dan pingat emas kedua UniMAP ialah Alida Abdullah menerusi produk Fly Ash based Geopolymer as Lightweight Artificial Aggregate using Low Temperature. Produk tersebut turut meraih anugerah khas Korea University Invention Association (KUIA).

 Dua lagi pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Chua Ee Lun dan Yew Long Tat yang mana kedua-dua produk ini turut meraih anugerah khas Association of Young Innovetor and Scientist Indonesia (AYISI) manakala pingat perak UniMAP disumbangkan oleh Anis Nadhirah Ismail, dan Yee Len Fong.

 Datuk Dr. Kamarudin berkata, kejayaan yang diraih oleh penyelidik muda yang bernaung di bawah ENVEX Young Reseacher Club (EYReC) itu melengkapkan kejayaan penyelidik muda di persada antarabangsa sepanjang Ramadhan lalu selepas kejayaan meraih enam pingat emas dalam pertandingan Student Green Growth Invention Contest kali ke-5 di Korea penghujung Julai lalu.

 Ujar beliau, dalam pertandingan yang berlangsung di Guro Digital Complex, Seoul itu, delegasi penyelidik muda UniMAP yang menghantar tujuh penyertaan keseluruhannya turut meraih satu pingat perak.

 “Dalam pertandingan yang dianjurkan untuk kali kelima itu, penilaian pemenang dibuat oleh juri-juri yang dilantik melalui dokumen dan poster penyelidikan yang dihantar oleh universiti dan agensi yang bertanding.

 “Sebenarnya, walaupun pertandingan ini telah dianjurkan sebanyak lima kali, namun ini merupakan kali pertama penyertaan di buka kepada agensi dan institusi pengajian tinggi dari negara-negara lain selain Korea yang mana sebanyak 600 penyertaan diterima dari negara Indonesia, Malaysia dan Filipina.

 “Malaysia sendiri menghantar 16 penyertaan keseluruhannya menerusi sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menjalinkan kerjasama dengan EYReC seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP) selain sekolah angkat UniMAP iaitu Sekolah Menengah Kebangsaaan Dato Sheikh Ahmad dan Sekolah Kebangsaan(SK) Sena.

 “Lebih membanggakan apabila penyertaan pelajar tahun enam di SK Sena turut meraih pingat emas menerusi produknya BreadFriend,” ujar beliau.

 Menurut Dr. Kamarudin, selain ketiga-tiga institusi dan sekolah tersebut, turut mewakili Malaysia ialah peserta dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, SMS Tapah, Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Menengah Agama Imtiaz Terengganu.

 “Daripada 16 penyertaan ini, penyelidik Malaysia berjaya membawa pulang 11 pingat emas dan lima pingat perak. Saya amat berharap pasukan penyelidik muda ini akan meneruskan kecemerlangan di masa akan datang, sekali gus membawa lebih banyak kejayaan kepada Malaysia amnya dan UniMAP khasnya,” katanya lagi.

 Beliau menambah, penyelidik muda UniMAP selepas ini akan menyertai beberapa pertandingan di peringkat dalam dan luar negara antaranya National Research Invention Competition (NRIC) yang akan diadakan pada Ogos ini di Universiti Malaysia Perlis, Expo Inovasi Islam (i-INOVA) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan International Invention Show (INOVA) di Croatia.