A+ A A-

32 Staf Akademik Universiti Chittagong Sertai Bengkel Anjuran UniMAP

Kangar, 23 April- Seramai 32 staf akademik dari Bangladesh ke Perlis bagi menyertai Bengkel Pembelajaran Pengajaran dan Metodologi Penyelidikan selama tujuh hari enam malam anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.

Delegasi ini telah diketuai oleh Ketua Institute of Quality Assurance Cell (IQAC) Chittagong University, Prof Jahangir Alam.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP mempunyai hubungan yang akrab dengan Bangladesh sejak beberapa tahun yang lalu.

“Saya percaya UniMAP telah mengadakan hampir 20 lawatan ke Bangladesh dalam masa dua tahun lepas.

“Malah UniMAP juga mempunyai pelajar dan pensyarah dari Bangladesh serta turut menerima lawatan dari tetamu kehormat negara itu dari masa ke masa atas kapasiti yang berbeza,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bengkel tersebut di Bilik Seminar PFI 2 di Kampus Induk UniMAP Pauh Putra di sini.

Tambah beliau, kerjasama terkini melibatkan UniMAP dan negara itu adalah dalam jaminan kualiti Bangladesh melalui inisiatif Universiti Grant Commission (UGC) dan Bank Dunia.

 “Selain dari mempelajari teknik terkini pembelajaran pengajaran serta penyelidikan, delegasi ini juga turut diperkenalkan dengan konsep asas kepimpinan akademik, termasuklah merancang dan mencarta kerjaya akademik seseorang berdasarkan minat dan kecenderungan akademik mereka.

“Beberapa orang tenaga pengajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut dijemput bagi berkongsi pengetahuan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran mereka,” kata beliau.

Pada hari terakhir bengkel yang berlangsung di UniMAP Kuala Lumpur, Naib Canselor Chittagong University, Prof. Atiuddin Chowdry turut menyertai program itu.  

Dalam perbincangan antara Naib Canselor kedua-dua universiti ini, satu rancangan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah universiti telah dicapai termasuk perbincangan lanjut mengenai kursus pendek, program mobiliti dan seminar.

Sebagai tambahan, CU berminat untuk menawarkan pengajian Bahasa Malaysia di kampus mereka dan UniMAP berinisiatif untuk bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi merealisasikan hasrat CU itu.

CU adalah antara empat universiti awam utama di Bangladesh. Tiga lagi universiti adalah Dhaka University, Jahangirnagar University and Rajshahi University.

Untuk rekod, hubungan baik UniMAP dengan CU terjalin sejak universiti itu menyertai usaha kerajaan Bangladesh untuk menaikkan standard kualiti institusi pendidikan tinggi negara mereka.