- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
10 Produk UniMAP Raih Emas Di ITEX 2018
KANGAR, 12 Mei- Produk penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya membawa pulang 10 pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX), baru-baru ini.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata, UniMAP menghantar 16 produk untuk dipertandingkan pada ITEX 2018 dan 10 daripadanya berjaya meraih pingat emas manakala enam lagi meraih perak.
Katanya, ia sekaligus menjadikan UniMAP berjaya meraih 100 peratus pingat yang dipertandingkan.
“UniMAP menumpukan untuk mengenengahkan produk-produk yang dihasilkan penyelidik muda.
“Percaturan yang kita buat ini membuahkan hasil apabila berjaya mengekalkan jumlah pungutan pingat emas sama seperti tahun lalu dan saya percaya pencapaian ini akan dapat ditingkatkan di masa akan datang,”katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Antara produk penyelidikan UniMAP yang meraih pingat emas adalah Freezer And Chiller Delivery Box produk Dr. Mohd Zakimi Zakaria, Hybrid Graphene-Copper Antenna For Brain Tumor Detection (Dr. Mohd Aminuddin Jamlos, LORAFI (Dr. Ammar Zakaria), Harumanis Healthy Harmony (Prof. Madya Dr. Mahmad Nor Jaafar); Broadband Rf Energy Harvester (Ismahayati Adam); Nanometrological Aptasensor To Diagnose Blood Clotting Defect (Prof. Madya. Dr. Subash C.B. Gopinath); Geoairsense: Cloud Based Air Quality Monitoring System (Prof. Madya Dr. Latifah Munirah Kamarudin).
Tiga lagi produk adalah Integrated Dc Power Supply For Low Voltage Renewable Dc Microgrid (Ir Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansur), Hp-Oyspore: High Potential Spore Induction Grey Oyster Mushroom Liquid Spawn (Prof. Madya Dr. Zarina Zakaria) dan Dr. Md Tasyrif Abdul Rahman – dengan produk penyelidikan, Connected Car: Engines Monitoring Via Internet Of Things (Iot).
ITEX 2018 mengumpulkan lebih 1,000 reka cipta yang membabitkan penyertaan dari 20 negara seperti China, Jerman, Korea dan Turki
Antara tarikan utama bagi ITEX 2018 adalah penganjuran Pameran Pereka Cipta Muda Dunia (WYIE), Pameran Reka Cipta Muda Asia (AYIE), Pameran Reka Cipta Muda Malaysia (MYIE) dan aktiviti seperti sesi PITCH4FUND, seminar usahawan pemula dan perbincangan modal teroka ke usahawan (VC2E).
Ia merupakan anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS), sebagai platform bagi mempamerkan reka cipta dan teknologi serta produk baru.