A+ A A-

Hampir 1,000 Pelajar UniMAP Sertai Majlis Iftar Kubra 2018  

Pauh Putra, 17 Mei- Sempena satu Ramadhan hari ini, hampir 1,000 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dari enam kolej kediaman universiti itu mengikuti Majlis Iftar Kubra 2018 di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP ,di sini.

Majlis anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK), dan Pusat Islam UniMAP dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa ), Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin.

Dr Rezuwan berkata, sempena bulan mulia ini beliau berharap warga UniMAP khususnya pelajar dapat meringankan tangan menghulurkan sedekah mahupun berkongsi rezeki yang ada bersama golongan kurang bernasib baik.

Katanya, ia tidak semestinya dilakukan secara rasmi, tetapi boleh dilakukan secara santai oleh sekumpulan kecil pelajar walaupun bantuan yang dihulurkan tidak seberapa.

“Percayalah bahawa walaupun sumbangan itu tidak seberapa,tetapi akan meninggalkan kesan yang amat bermakna kepada mereka,” katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor di majlis itu.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Sempena majlis berkenaan turut diadakan penyerahan zakat dari Tabung Zakat Korporat UniMAP kepada 20 pelajar yang terpilih sebelum solat Tarawih sekaligus membuktikan UniMAP sentiasa peka dengan masalah pelajar terutama dalam aspek kewangan.

Lebih bermakna apabila majlis itu mendapat sumbangan makanan serta 240 kotak kurma daripada individu yang bermurah hati untuk diagihkan ke setiap kolej kediaman.

Selain berbuka puasa, turut diadakan slot ceramah kerohanian dan persembahan nasyid dari kumpulan nasyid Ar-Zhafran Kolej Kediaman Pauh Putra yang menjuarai kategori nasyid pada Festival Kebudayaan Antara Kolej Kediaman (FESTKOL) 2018 baru-baru ini.