- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
PPK Bioproses Bantu Asnaf Menjelang Aidilfitri
KANGAR– Bersempena dengan kehadiran Aidilfitri yang bakal hadir, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bioproses, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini telah terpanggil untuk turun padang bagi membantu tiga keluarga asnaf.
Penysyarah Kanan PPK Bioproses, Dr. Syazni Zainul Kamal, berkata, Program Jejak Asnaf yang dianjurkan setiap tahun bersempena Ramadhan itu, bertujuan bagi meningkatkan kesedaran tentang amalan bersedekah, membantu meringankan beban keluarga asnaf dan untuk lebih mendekati masyarakat setempat di kalangan staf. “Kita telah berjaya mengenalpasti tiga buah keluarga untuk dibantu dan antara bantuan yang diberikan berupa barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak, tilam, bantal, pakaian beserta wang tunai.
“Sumbangan ini adalah hasil derma staf PPK Bioproses,”katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ujar Syazni lagi, lebih manis lagi, pada program itu juga, mereka dapat membantu seorang pelajar yang telah menolak tawaran ke Program Diploma Kejuruteraan (Kejuruteraan Metalurgi) UniMAP kerana kekangan kewangan.
“Hasil dari usaha Jawatankuasa Jejak Asnaf, kita telah berjaya, membantu pelajar ini mendapatkan bantuan pelajaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
“PPK Bioproses juga telah melancarkan tabung derma kilat dan rayuan kemasukan semula ke program diploma tersebut dan pelajar tersebut bakal mendaftar sebagai pelajar UniMAP pada ambilan kedua pada 25 Jun akan datang,”katanya lagi.