A+ A A-

Pelajar OKU Antara Yang Mendaftar Di UniMAP

Padang Besar, 25 Jun  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa berazam untuk melahirkan insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara telah melebarkan peluang kemasukan ke UniMAP apabila buat kali pertama menerima pelajar kelainan upaya (OKU) bagi program diplomanya.

Pelajar terbabit, Muhammad Adib Wajdi Dzulhawira, 18, yang merupakan anak jati Perlis ditawarkan program pengajian Diploma Mikroelektronik bagi tempoh tiga tahun atau enam semester dan dijangka tamat pada hujung 2020 nanti.

Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP mendapat makluman mengenai pelajar terbabit yang dilaporkan gagal menempatkan diri di institusi pengajian Tinggi (IPT) ekoran kecacatan yang dialami.

"Beliau memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bagus dan seharusnya diberi peluang untuk menyambung pengajiannya.

"Namun dikhabarkan kegagalan pada pengambilan pertama adalah disebabkan kecacatan kekal pada kakinya dan perkara ini tidak seharusnya berlaku," katanya ketika dihubungi pemberita selepas Majlis Sambutan Siswa Siswi Sidang Akademik 2018/2019 di Kampus Alam UniMAP Uniciti di sini, semalam.

Tambahnya lagi, UniMAP yakin bahawa setiap orang perlu dilayan sama rata dan sebarang perbezaan tidak harus menjadi penghalang.

"UniMAP sedia membantu beliau  merealisasikan impian beliau dan langkah pertama yang diambil adalah dengan menawarkan tempat belajar untuknya," katanya.

 Sementara itu, Muhammad Adib Wajdi yang merupakan anak pertama dari dua beradik ingin membuktikan kepada dunia bahawa kecacatan yang dialaminya sejak lahir itu bukan batasan untuk berjaya.

"Sebagai anak sulung saya ingin memberikan contoh terbaik kepada adik saya sekaligus membanggakan kedua ibu bapa saya.

"Terima kasih kepada UniMAP kerana memberi peluang kepada saya dan InsyaAllah peluang ini tidak akan saya sia-siakan," katanya.