- Kategori: BERITA - Malay
Idris Jusoh Ucap Penghargaan Buat Warga UniMAP
6 Januari 2015. Tumpat -- Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dalam lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut hari ini mengucapkan penghargaan buat warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di atas bantuan sukarelawan yang dihulurkan di sekitar Tumpat.
Beliau ketika ditemui berkata ketabahan warga UniMAP ini amat memberangsangkan kerana kebanyakan sekolah dikawasan tersebut dilanda lumpur yang tebal dan memerlukan proses pembersihan secara manual.
“Saya melihat sendiri warga UniMAP berusaha untuk mengeluarkan lumpur di sekitar bangunan sekolah secara manual dan ini pasti amat memenatkan. Saya amat kagum dengan kerjasama dan bantuan yang diberikan ini.
Difahamkan ini merupakan kumpulan kedua yang datang memberikan khidmat sukarela di kawasan Tumpat, terdiri daripada 60 orang staf yang miliki kepakaran dalam bidang masing-masing seperti doktor perubatan, jurutera, juruteknik, kaunselor dan penolong pendaftar,”katanya.
Menurut beliau lagi, proses pembersihan ini akan mengambil masa lebih kurang satu minggu lagi untuk memastikan persekitaran sekolah dalam keadaan baik dan boleh digunakan untuk sesi persekolahan yang dijangka bermula 11 Januari ini.
Operasi Pasca Banjir Sukarelawan ke Kelantan fasa kedua ini telah dilepaskan oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr Kamarudin Hussin pada malam 4 Januari lalu dan akan berada di Tumpat selama 5 hari untuk kerja-kerja memulihara, pembaikan dan penyelenggaraan kecil di premis-premis kerajaan dan juga sekitar kediaman mangsa.
Fasa pertama Operasi Pasca Banjir Sukarelawan UniMAP ke Tumpat melibatkan seramai 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan tiga buah lori bersama barangan keperluan harian yang disumbangkan oleh warga UniMAP dan rakyat Perlis telah berada di Tumpat pada 1 hingga 5 Januari 2015 lalu.