- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
Program Communicative English Course Kongsi Kepakaran Akademik Dengan Thailand
Pauh Putra, 18 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus meningkatkan keterlihatan universiti itu di rantau ASEAN menerusi Program Communicative English Course dengan kerjasama Nakhon Pathom Rajabhat University (NPRU) Thailand.
Program di bawah kendalian Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP itu menerima 20 pelajar Pusat Pengajian Kemanusiaan NPRU dan berlangsung selama 21 hari bermula 28 Jun lalu sehingga hari ini.
Pengarah CIL, Prof Dr Harshita Aini Haroon berkata program ini bertujuan untuk menyerlahkan UniMAP di rantau ASEAN melalui kerjasama kepakaran akademik dalam bidang bahasa Inggeris di samping mendedahkan para pelajar kepada kemahiran komunikasi dan budaya Melayu.
“ Di samping itu, ia juga sebagai mengukuhkan hubungan kerjasama kedua-dua universiti selain bertindak sebagai saluran untuk pengembangan dan pengukuhan ASEAN dalam meningkatkan nilai perkongsian ilmu di rantau ini.
“Saya berharap semoga kedua-dua universiti dapat memanfaatkan program ini sebagai batu loncatan ke arah program kerjasama yang lain lagi di masa akan datang samada dalam bidang akademik mahupun bukan akademik, “ kata beliau ketika Majlis Penutupan program berkenaan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Institut Bahasa NPRU, Khanitta Thaichareon.
Di majlis penutup berkenaan, pelajar NPRU mempersembahkan tarian ayam didik yang dipelajari di dalam kelas ketika mengikuti program selama tiga minggu itu.
Sementara itu, pengarah program itu Masturah Sabri berkata sepanjang mengikuti program berkenaan di UniMAP, para pelajar mendapat pengajaran penuh di dalam kelas melalui modul yang dibangunkan khas.
Katanya, modul berkenaan dihasilkan sendiri oleh pensyarah dan guru bahasa CIL.
“Selain sesi dalam kelas, pelbagai aktiviti lain direncana seperti lawatan akademik ke Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Alor Setar selain mereka berpeluang menimba pengalaman mempelajari budaya Melayu melalui aktiviti masuk kampung yang diadakan di Kampung Pulau Pisang, Jitra,” katanya.
Tambahnya,selain kelas bahasa Inggeris, para pelajar NPRU juga perlu mengikuti sesi kelas bahasa Melayu yang diajar guru bahasa CIL Juliana Ahmad dan tarian Melayu bimbingan artis budaya Unit Kebudayaan & Rekreasi (UKR) UniMAP.
Terdahulu, salah seorang pelajar NPRU, Yasmeena Yuerae berkata, pengalaman mempelajari bahasa dan tarian Melayu ini sangat menyeronokkan dan ini merupakan satu pengalaman baharu yang tidak akan diperolehi di Thailand.
“Kami berpeluang mempelajari adat dan kebudayaan masyarakat di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa serta mempunyai keunikan tersendiri.
“Malah, saya juga dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris ketika mengikuti modul yang ditetapkan sekaligus membantu kami lebih yakin berkomunikasi dengan rakan-rakan di rantau ASEAN, ” katanya ketika ditemui di majlis itu.