- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
ASP 2018 Pupuk Sikap Toleransi Berlainan Bangsa dan Negara
Kangar , 30 Julai – Program berkonsepkan mobiliti berkredit, Asia Summer Program (ASP) 2018 kali ini membawa peserta universiti-universiti di Asia ke negara Korea Selatan dengan Dongseo University menjadi hos mulai 8 hingga 27 Julai, baru-baru ini.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak ketinggalan dengan menghantar 24 pelajar bagi mengikuti ASP di negara empat musim berkenaan selama tiga minggu bersama lebih 400 pelajar dari 12 negara membabitkan 31 universiti.
Antara pengisian ASP 2018 ialah peserta perlu mendaftarkan diri , memilih dan hadir dalam dua kursus yang dijadualkan setiap hari (Isnin hingga Jumaat) pada jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang, selain lawatan ,program Korean Cultural Event, Hari Sukan, Movie Night serta aktiviti-aktiviti harian lain yang menarik diadakan selepas waktu kuliah.
Seorang pelajar tahun dua Bioteknologi Industri, Vinod Kumar berkata ASP 2018 merupakan program yang unik serta dapat mengukuhkan ukhuwah di antara peserta yang datang dari negara yang berbeza.
“Setiap pelajar ditempatkan bersama seorang lagi pelajar lain dari negara berlainan sepanjang tiga minggu ini sekaligus menyebabkan pelajar perlu hidup bertoleransi, mengenali serta menghormati budaya lain yang berbeza.
“Selain itu, ASP turut meningkatkan kefahaman saya mengenai hidup berintegrasi dan toleransi antara kaum serta dapat mengenali budaya bangsa lain dari negara Asia lain, “ katanya.
Seorang lagi pelajar tahun dua Bioproses, Arina Izaati yang juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berkata peluang yang diperolehi apabila terpilih ke ASP 2018 dimanfaatkan sebaiknya.
Katanya, di ASP 2018 dia dan rakan-rakan dapat menonjolkan keunikan kebudayaan Malaysia kepada rakan-rakan negara Asia yang lain.
“Di samping itu, saya dan rakan-rakan UniMAP juga berpeluang menimba pengalaman mengikuti kuliah dalam suasana negara Korea serta tenaga pengajar berbeza budaya dan bangsa, “katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, selain pelajar UniMAP, tenaga akademik UniMAP turut dipilih sebagai tenaga pengajar bagi dua daripada 52 kursus yang ditawarkan ASP 2018 iaitu Pengarah Pusat Pengkormersilan Harta Intelek (CIPC) Prof Dr Rosni Bakar dan Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar & Alumni) Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi (iKOM) Dr Nor’Izah Ahmad.
Katanya, bagi pemilihan tenaga pengajar ASP 2018 adalah berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini kerana penawaran kursus ditentukan oleh permintaan peserta ASP sendiri.
“Selain Malaysia, antara negara yang menyertai ASP 2018 ialah Indonesia, Taiwan, China, Filipina, Thailand, Bangladesh, Jepun, Singapura, Vietnam, Korea dan Lithuania,” kata beliau.
Untuk rekod, UniMAP pernah menjadi hos ASP pada 2014 dengan penyertaan dari 23 universiti Asia.