A+ A A-

Delegasi UniMAP Kunjung Hormat Ke Pejabat Dahlan Iskan

12 September 2013

JAKARTA, Indonesia – Delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diketuai oleh Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Badan Usaha Milik Negara Indonesia, Dahlan Iskan.

Kunjungan yang turut disertai oleh beberapa Dekan dan Ketua Jabatan UniMAP itu antara lainnya bertujuan menyerahkan surat tawaran pelantikan sebagai Profesor Tamu di universiti tersebut.

Dr. Kamarudin berkata, kunjungan tersebut merupakan satu formaliti sebelum penyerahan watikah Profesor Tamu.

“Selalunya pertemuan dibuat awal sebelum majlis, namun memandangkan tawaran ini diberikan kepada tokoh dari negara luar, makanya proses pertemuan dan penyerahan surat tawaran dibuat sehari sebelum penyerahan watikah.

“Dahlan sebelum ini, telah menyatakan persetujuan lisan untuk menerima tawaran UniMAP, dan kunjungan hari ini antara lainnya lebih kepada untuk memuktamadkan persetujuan secara bertulis,” ujarnya.

Dr. Kamarudin seterusnya berkata, meskipun Dahlan merupakan seorang Menteri di Indonesia, namun perwatakan beliau dan penerimaan beliau sewaktu pertemuan tersebut amat mengkagumkan.

“Kami tiba di pejabat beliau pada awal pagi dan ketika itu beliau sedang berpakaian sukan selepas berjoging dan melakukan senaman pagi. Beliau juga sangat ramah dan tidak terlalu protokol,” ujar beliau lagi.