A+ A A-

Ambilan Kedua UniMAP Satukan Pasangan Kembar

Pauh Putra, 20 Sept – Sepasang kembar akhirnya dapat menarik lafaz lega kerana mereka dapat mengikuti pengajian yang sama iaitu bidang Pembuatan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) .

Ini berikutan sebelum ini kakak kembar itu, Noratiqah Mohd Izer berjaya mendapat tempat di universiti kejuruteraan berkenaan pada ambilan pertama 28 Ogos lalu manakala adik kembarnya, Norafiqah baharu mendaftar di UniMAP,  kelmarin.

Noratiqah berkata sejak kecil mereka tidak pernah berenggang malah mengikuti pengajian yang sama iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Tekstil) di Politeknik  Seberang Perai sebelum ini.

Katanya, situasi berkenaan pada  awalnya membuatkan mereka berasa sedih kerana terpaksa berenggang tetapi akhirnya berasa amat gembira apabila Norafiqah berjaya mendapat tempat di UniMAP dalam bidang yang sama bagi ambilan kedua.

“Ibu dan ayah menggalakkan adik membuat rayuan untuk mendapatkan tempat di UniMAP, Alhamdulillah adik berjaya juga mendapat tawaran dalam bidang yang sama,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Anak kepada pesara tentera dan guru itu memberitahu bahawa keadaan itu membuatkan mereka bersemangat mengikuti kuliah di UniMAP dan berharap dapat segera menyesuaikan diri berjauhan dari keluarga.

“Kami berasal dari Pulau Pinang, jadi tidak menjadi masalah ketika masih belajar di Politeknik Seberang Perai kerana tidak jauh dari rumah, justeru apabila berjauhan di Perlis ini kami lebih selesa jika dapat bersama-sama lagi mengikuti kuliah di sini,” katanya.

Terdahulu Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata bagi ambilan kedua, UniMAP menerima 393 pelajar baharu yang mendaftar program Ijazah Sarjana Muda sidang akademik 2018/2019 manakala ambilan pertama yang lalu universiti itu menerima 2,198 pelajar baharu.

Menurutnya, UniMAP mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu dan berharap pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta mengikuti kuliah dengan selesa.

“Di UniMAP, pelbagai kemudahan kita sediakan malah 100 peratus pelajar menginap di kolej kediaman tanpa perlu ibu bapa risau mengenai rumah sewa dan pengangkutan,” kata beliau.

UniMAP MSK Ijazah 2018

UniMAP MSK Ijazah 2018

UniMAP MSK Ijazah 2018

UniMAP MSK Ijazah 2018

Tagged under: UniMAP,