A+ A A-

DYMM Raja Perlis Bercemar Duli Melawat Perpustakaan UniMAP

KANGAR 23 Julai - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau perkembangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di kampus induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra dekat sini, kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP, disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan pegawai kanan UniMAP.

Dalam lawatan itu, baginda mendengar taklimat mengenai perkembangan dan kejayaan terkini UniMAP daripada Kamarudin disusuli taklimat oleh Pemangku Ketua Pustakawan UniMAP, Mazmin Mat Akhir mengenai perpustakaan berkonsepkan 'hybrid' tersebut.

Baginda kemudiannya di bawa melawat ke keseluruhan bangunan perpustakaan dambil diberikan penerangan ringkas oleh setiap unit sebelum menyempurnakan pelancaran Koleksi Seminar Institusi Raja (SIRaj) yang dianjurkan oleh UniMAP di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut juga, baginda turut bercemar duli melawat konti stesen radio UniMAP.fm yang ditempatkan di bangunan perpustakaan itu.

Mengakhiri lawatan, baginda turut melawat galeri UniMAP sebelum meninjau litar Go-Kart UniMAP yang baharu siap dibina dan mendapat pengiktirafan.