- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
Universiti Malaysia Perlis Menjadi Tarikan Pensyarah dan Mahasiswa Universiti-Universiti Sekitar Makassar Untuk Pengajian Peringkat Pascasiswazah
Makassar, Indonesia - 28 September 2018. Untuk memastikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus kekal sebagai sebuah universiti pilihan di rantau ini, UniMAP yang diketuai oleh Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal telah mengadakan lawatan selama dua hari di Makassar, Indonesia untuk memberi pendedahan kepada pensyarah dan mahasiswa tentang peluang-peluang pendidikan pascasiswazah yang ditawarkan di UniMAP. Sesi taklimat telah diadakan di Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), dan Fakultas Teknik, Universitas Negeri Makassar.
Lebih daripada 170 peserta yang terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa dari universiti-universiti di sekitar Makassar hadir semasa sesi taklimat tersebut. Peluang untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah telah dibentangkan dengan kelebihan fasiliti, kelebihan peralatan, staf akademik yang berwibawa sebagai penyelia, penerbitan terindek dan pencapaian lain yang memberangsangkan bagi UniMAP, sebuah universiti yang berusia 17 tahun.
Hasil daripada taklimat tersebut, beberapa pensyarah dan mahasiswa menunjukkan minat yang sangat tinggi untuk mengikuti pengajian tinggi di UniMAP. Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan keterlihatan UniMAP di persada antarabangsa. Perkara-perkara yang turut dibincangkan termasuklah program-program kerjasama yang boleh diwujudkan melalui pertukaran staf dan pelajar, penawaran program dual, perkongsian penyelidikan serta penerbitan.
Di samping mempromosikan pengajian pascasiswazah Y.Bhg Dato’ Naib Canselor turut menyampaikan ucaptama di persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Universitas Negeri Makassar. Dua perjanjian persefahaman di antara Universitas Negeri Makassar dengan UniMAP telah ditandatangani di akhir majlis pembukaan persidangan tersebut.