A+ A A-

UniMAP Tubuh Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Sukan

PAUH PUTRA, 11 Oktober– Pelbagai program pembangunan sukan telah dianjurkan kerajaan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited dalam membantu negara untuk menjadikan usaha itu sebagai satu kenyataan.

Pengurus Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sukan (SERC) UniMAP, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid berkata, SERC berfungsi untuk melaksanakan program pembangunan dan penyelidikan yang berkaitan dengan kemajuan sukan dalam menyelesaikan isu serta masalah yang berkaitan  pembangunan sukan.

“Sebagai sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan, UniMAP menawarkan kepakaran bidang sains dan kejuruteraan dalam menyelesaikan masalah berkaitan kesukanan.

“Sukan adalah satu industri yang bernilai besar serta impaknya dan telah mula berkembang di negara kita dan UniMAP tidak mahu ketinggalan dalam hal ini,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mazelan berkata, penyelidikan dalam kejuruteraan sukan memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang yang berkaitan seperti biomekanik, teknologi sensor, komunikasi dan berbagai lagi.

UniMAP mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan ia boleh diaplikasikan dalam penyelidikan dan pembangunan seperti Sistem pengukuran prestasi atlet, rekabentuk bagi penghasilan peralatan sukan dan keselamatan dalam sukan juga analisis terhadap prestasi sukan tumpuan.

“Daripada itu kita mampu untuk membangunkan  program–program kejurulatihan sukan bagi peningkatan kemahiran atlet seperti yang digunakan di negara-negara maju,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, SERC telah mempunyai beberapa cadangan sepanjang 2018 dan berharap dapat bekerjasama dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Majlis Sukan Negeri (MSN).

SERC dilancarkan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahir Jamal sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan dan Sukan UniMAP 2017 baru-baru ini. 

Maal Hijrah 2018

Maal Hijrah 2018