- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
Sireh Pulang Ke Gagang – Kamarudin Dilantik Pengerusi LPU UniMAP
Arau, 4 Oktober – Seperti sireh pulang ke gagang, mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin kembali berkhidmat di universiti tersebut selepas dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP berkuatkuasa 1 Oktober 2018 lalu.
Lantikan beliau adalah bagi menggantikan Dato’ Mohd Sofi Osman untuk tempoh tiga tahun sehingga 30 September 2021.
Dr. Kamarudin ketika dihubungi melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang oleh Kementerian Pendidikan untuk menjawat jawatan sebagai pengerusi LPU UniMAP.
“Saya berikrar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada UniMAP dan saya melihat beberapa penambahbaikan boleh dilakukan bagi memacu universiti tersebut untuk lebih cemerlang.
“Fokus saya adalah untuk memberi kefahaman kepada warga UniMAP mengenai hala tuju dan perancangan strategik universiti agar kita dapat bergerak bersama-sama meningkatkan kegemilangan UniMAP,” katanya.
Tambah beliau, tidak mungkin sesebuah universiti itu mampu mencapai kejayaan tanpa penyatuan warganya dan ini akan terjadi sekiranya warga UniMAP kurang jelas dengan matlamat yang ditetapkan oleh universiti.
“Oleh itu, bagi merealisasikan fokus tersebut saya akan berbincang secara mendalam bersama pengurusan tertinggi UniMAP untuk mencapai persepakatan dan permuafakatan mengenai hala tuju universiti.
“Tambahan pula, dalam keadaan kewangan terhad kita perlu memikirkan mekanisme yang tepat bagi membolehkan apa yang kita hasratkan itu tercapai sekaligus menyerlahkan keterlihatan UniMAP di mata dunia,” katanya.
Malah beliau juga akan memberikan fokus untuk meningkatkan reputasi universiti melalui data kemasukan pelajar dalam dan luar Negara.
“Saya ingin melihat peningkatan jumlah kemasukan pelajar dari dalam dan luar Negara. Untuk itu, kita akan mempergiatkan lagi usaha memasyarakatkan universiti agar lebih ramai anak muda yang akan mencintai bidang sains dan teknologi serta UniMAP itu sendiri,” katanya.
Untuk rekod, Dr. Kamarudin bermula sebagai Rektor di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) pada 2002 sebelum menjadi Naib Canselor selepas KUKUM dijenamakan menjadi UniMAP pada 2007.
Beliau melepaskan jawatan sebagai Naib Canselor UniMAP pada 2016 selepas mengemudi universiti tersebut selama 14 tahun sekaligus menjadi antara Naib Canselor yang paling lama berkhidmat di Malaysia.