- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
Kelas Bahasa Inggeris Penghargaan Buat Tentera
Pauh Putra, 19 Oktober – Dalam usaha menghargai pengorbanan pasukan keselamatan Malaysia khususnya tentera dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), melalui Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) menganjurkan Kursus Bahasa Inggeris kepada golongan tentera.
Naib Canselor UniMAP , Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program kerjasama antara UniMAP dan tentera berkenaan merupakan kali kedua diadakan selepas program yang julung kali diadakan pada Jun tahun lalu.
“Sebelum ini kita tidak mempunyai saluran untuk menganjurkan program seperti ini. Dengan kelebihan yang kami ada (guru bahasa) penganjuran kursus ini saya kira merupakan satu sumbangan kecil UniMAP kepada pasukan keselamatan kita.
“Program komuniti seperti ini juga merupakan hasrat UniMAP yang inginkan universiti ini memperbanyakkan aktiviti yang dapat membantu masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup Kursus Bahasa Inggeris Tentera di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini.
Hadir sama ialah Timbalan Komander Kem 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Huzaini Hussin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin dan Pengarah CIL, Dr Sharmini Abdullah.
Ujar beliau lagi, selain daripada mengajar bahasa Inggeris kepada anggota tentera, tenaga pengajar juga dapat mempelajari sesuatu dari pengalaman yang dikongsi anggota keselamatan itu.
“Ini merupakan salah satu program pembelajaran dua hala dimana kedua-dua pihak boleh berkongsi ilmu-ilmu baharu yang saya percaya bukan mudah untuk orang awam mengetahuinya dari pihak tentera,” katanya lagi.
Sementara itu Leftenan Kolonel Huzaini Hussin berkata, peluang itu merupakan satu pengalaman baharu tentera untuk belajar bersama pensyarah universiti.
“Sebelum ini kita tidak pernah terlibat dengan program atau kelas bersama orang awam kerana dalam angkatan tentera juga mempunyai Kor Pendidikan dimana tenaga pengajarnya juga dari kalangan tentera.
“Kelas ini merupakan persediaan untuk latihan bersama anggota tentera luar seperti Australia, Amerika Syarikat, dan operasi di sempadan Thailand dan Sabah,” katanya yang berucap mewakili Mejar Tadris Ahmad selaku Pegawai Dua Pendidikan Markas 6 Briged.
Ujar Huzaini , latihan bersama anggota tentera dari negara luar menuntut anggota tentera untuk berkomunikasi menggunakan bahasa selain dari bahasa Melayu, justeru kelas persediaan Bahasa Inggeris seperti itu amat berguna kepada mereka.
“Untuk program kali ini, kita menggabungkan pegawai-pegawai dari pelbagai peringkat campuran Askar Infantri dan Bantuan Khidmat kawasan utara agar mereka lebih berkeyakinan dalam menjalani latihan dan operasi kelak.
“Saya berharap program kerjasama ini akan diteruskan kerana memberi pengalaman yang bermanfaat kepada kami sebagai anggota tentera,”katanya lagi.
Terdahulu, seorang peserta Leftenan Dzulfikar Dasuki dari Kem Sungai Ara, Pulau Pinang berkata sepanjang program itu, beliau menumpang di kem rakan-rakan lain yang terdekat bagi mengikuti program itu.
Menurutnya, walaupun beliau merupakan lepasan ijazah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) namun peluang mengikuti program itu di UniMAP memberi pengalaman baharu kepadanya.
“Aktiviti-aktiviti juga menyeronokkan dan saya berpeluang mengenali rakan-rakan baharu dari pasukan yang lain serta tenaga pengajar UniMAP,” katanya.
Kelas yang berlangsung selama lima hari itu disertai seramai 50 anggota bermula 15 hingga 19 Oktober di UniMAP Kampus Pauh Putra yang dikendalikan oleh lapan staf CIL termasuk seorang staf antarabangsa .
Sesi pembelajaran akan memberi tumpuan kepada kemahiran pertuturan, pendengaran dan kerja berkumpulan, supaya dapat membantu pegawai tentera melaksanakan misi tersebut dengan lebih efisyen dan efektif.