A+ A A-

30 mahasiswa UniMAP menang Pilihanraya Kampus

Arau, 6 Dis – Seramai 30 calon pelajar diisytiharkan menang pada Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi pemilihan untuk mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Perwakilan Mahasiswa (JPPM), Nurhazwani Zabidin yang juga mantan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP sesi 2016/2017 berkata, seramai 11 calon telah tampil bertanding bagi Konstituensi Umum, manakala 40 calon lagi telah menawarkan diri bertanding bagi Konstituensi Pusat Pengajian.

“Namun kita hanya mempertandingkan 33 kerusi di mana tujuh kerusi adalah bagi Konstituensi Umum dan 22 kerusi Pusat Pengajian, dua kerusi Diploma dan dua kerusi Antarabangsa.

 “Tujuh calon yang menang bagi Konstituensi Umum adalah berdasarkan jumlah undian tertinggi dan mereka ini bakal mengisi jawatan tertinggi MPP UniMAP sesi 2018/2019,” katanya ketika dihubungi pemberita sejurus tamatnya pengumuman tersebut.

Ujarnya lagi, bagi Konstituensi Pusat Pengajian, 11 calon menang tanpa bertanding bagi mewakili pusat-pusat pengajian mereka iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan; PPK Alam Sekitar; PPK Mekatronik; PPK Bioproses; PPK Sistem Elektrik; Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Pusat Pengajian Diploma (PPD).

“Manakala 12 calon lagi menang selepas meraih undi yang tertinggi bagi mewakili pusat pengajian PPK Komputer dan Perhubungan; PPK Mikroelektronik; PPK Pembuatan; Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan Dan Teknousahawan (PPIPT), Pusat Pengajian Pembangunan Insan Dan Teknokomunikasi (IKOM) dan Pusat Pengajian Antarabangsa.

“Namun terdapat tiga pusat pengajian iaitu PPK Bioproses; PPK Mekatronik dan PPK Sistem Elektrik yang masing-masing hanya menghantar seorang calon dan pihak JPPM memutuskan tiada pertambahan bagi tiga kerusi yang kosong,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 9,149 pelajar atau 79.27 peratus dari 11,541 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing di mana pengundian dijalankan secara e-voting.

Ketika ditanya mengenai JPPM, beliau berkata, JPPM adalah satu badan yang ditubuhkan untuk melaksana dan melancarkan proses PRK dan mereka ini terdiri daripada MPP, mantan MPP, Sekretariat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) UniMAP dan juga ahli bebas di kalangan mahasiswa.

“JPPM terdiri seramai  140 pelajar dengan pecahan 40 orang jawatankuasa induk JPPM bersama-sama 100 petugas tempat pengundian yang telah memainkan peranannya sejak 16 November sehingga selesai pada hari ini, 5 Disember 2018.

“Tahun ini merupakan tahun pertama PRK dikendalikan seratus peratus oleh pelajar selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Maszlee Malik yang ingin menyuburkan kembali aspirasi politik di kampus,” katanya.

mpp2018