- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
Pelancaran E-Dagang Penerbit UniMAP
KANGAR, 3 JAN – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melangkah ke arah E-Dagang (E-Commerce) dalam mempromosikan buku-buku yang dihasilkan oleh pensyarahnya melalui Penerbit UniMAP.
Pengarah Penerbit UniMAP, Prof. Madya. Ir. Dr. Mohd Hafiz Fazalul Rahiman berkata, langkah itu merupakan satu usaha bagi meluaskan lagi saluran dan rangkaian pemasaran atas talian dalam memasarkan buku-buku terbitan Penerbit UniMAP.
“Jika sebelum ini kita hanya memasarkan melalui laman web dan portal UniMAP dan jumlah jualan hanya terhad kepada pengunjung web dan portal semata-mata.
“Dengan platform e-dagang, ia membuka ruang pasaran kepada orang ramai dengan lebih meluas ke seluruh dunia untuk mendapatkan buku dari Penerbit UniMAP,”katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Portal E-Dagang, di sini, baru-baru ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal. Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin.
Ujar Mohd Hafiz lagi, koleksi buku-buku terbitan Penerbit UniMAP, kini sudah boleh didapati secara atas talian di LAZADA dan SHOPEE.
“Selain itu, koleksi buku elektronik (e-book) juga boleh didapati melalui portal e-Sentral, dengan pembelian yang lebih mudah,”katanya lagi.