A+ A A-

Indonesia Dijangka Hantar Delegasi Besar ke AUPF 2013

Medan , 7 Ogos  – Kehangatan Asian University Presidents Forum (AUPF) 2013 yang bakal berlangsung di Langkawi dan Perlis pada 6 hingga 9 Oktober ini kian terasa apabila Indonesia dijangka bakal menghantar delegasi besar ke forum berkenaan yang berlangsung selama empat hari.

Kehadiran lebih 25 rektor dan pemimpin atasan universiti sekitar Medan ke majlis pertemuan dengan rakan-rakan strategik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Grand Swissbel Hotel di sini, hari ini bukan sahaja dapat menarik minat lebih ramai pemimpin-pemimpin atasan universiti di negara republik itu malah dapat mengeratkan hubungan strategik antara UniMAP dengan universiti-universiti di sini.

Majlis itu diadakan susulan daripada lawatan kerja delegasi dari UniMAP diketuai Naib Canselor UniMAP, Brig.Jen.Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin ke Medan, Indonesia mulai 16 hingga 18 Ogos baru-baru ini sempena AUPF 2013.

Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata beliau amat mengalu-alukan penyertaan rektor serta pemimpin-pemimpin universiti di negara ini ke AUPF 2013 kerana forum berkenaan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang aktif antara universiti di seluruh Asia.

 “Di dalam forum ini yang bertemakan  “Leadership In The Transformation of Asia: Opportunities and Challenges”, peserta juga boleh memilih bagi membentangkan kertas kerja berkaitan tajuk berkenaan selain dapat membincangkan berkaitan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan termasuk pertukaran pelajar.

 “Lebih menarik, mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad juga bersetuju bagi menyampaikan ucaptama di forum ini sekaligus kita dapat menimba pengalaman yang berguna bagi merealisasikan pembangunan bersama,” kata beliau ketika berucap di majlis berkenaan.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Konsul Muda Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan Nor Azhar Hajis.

UniMAP telah terpilih bagi menjadi tuan rumah AUPF 2013 selepas berlangsungnya AUPF 2012 di Busan, Korea tahun lalu dijangka dapat menghimpunkan lebih 100 universiti di Asia dan merupakan kali pertama diadakan di Malaysia sejak diperkenalkan 11 tahun lepas di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), China.