A+ A A-

Pasukan Silat UniMAP Johan Keseluruhan Terbuka Di Kejohanan Silat Terbuka IPT

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Pasukan silat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) beraksi cemerlang apabila menjadi johan keseluruhan  kategori terbuka di Kejohanan Silat Terbuka Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dan Jemputan Antarabangsa Taming Sari IV, baru-baru ini

Mereka turut membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa di kejohanan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abd Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 26 hingga 29 Januari.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Tuan Suhizaz Sudin berkata UniMAP menghantar lima atlet silat dan menyaksikan Muhammad Ziyad Irham Mohd Rafi meraih pingat emas bagi kategori G Putra manakala Mohammad Syamrin Shah Ramli meraih emas bagi kategori I Putra.

 “Nazirul Mubin Abd Aziz pula meraih pingat perak bagi kategori J Putra manakala Nurshafawati Muhammad Rashidi membawa pulang pingat perak bagi kategori E Puteri serta Norsyamimi Mohd Noor membawa pulang pingat gangsa kategori bebas Puteri,” kata beliau.

Sementara itu, Muhammad Ziyad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik ketika dihubungi berkata kerana minat yang mendalam mereka mengambil inisiatif pergi ke pertandingan itu sendiri walaupun sedang bercuti semester ketika itu.

“Rata-rata kami berada di kampung menyebabkan kami berusaha untuk menyertai juga pertandingan ini dan ternyata ia berbaloi dengan kejayaan yang berjaya dicapai.

Penyertaan ini juga sebagai persediaan ke pertandingan silat peringkat kebangsaan akhir di Pahang pada Mac ini bagi melayakkan kami menyertai pasukan elit Malaysia. InsyaAllah kami bukan sahaja membawa nama UniMAP tetapi juga membawa nama negeri Perlis ke pertandingan itu,” katanya.

Kejohanan selama empat hari itu turut disertai 35 pasukan dari IPT seluruh negara termasuk pasukan jemputan dari Yala Sport School Thailand.

UniMAP Johan Silat IPT

UniMAP Johan Silat IPT