A+ A A-

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

PAUH PUTRA 24 Feb - Kontinjen Kor SUKSIS Universiti Malaysia Perlis (UniMAP ) dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Kor SUKSIS Zon Utara (SUTRA 2019) yang berlangsung mulai 22 hingga 23 Februari (semalam).

UniMAP yang juga tuan rumah bagi SUTRA kali ini berjaya memperolehi tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa menerusi 11 acara yang disertai.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP selaku Komandan Kor SUKSIS UniMAP, ACP (KS) Prof  Dr Mohd Foad Sakdan berkata UniMAP berjaya meraih tiga pingat emas berkenaan menerusi acara futsal lelaki dan wanita serta bola baling wanita.

"Kita berjaya mengatasi pesaing terdekat iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) yang meraih tiga pingat emas, satu perak dan enam gangsa.


"Bagi pingat perak UniMAP pula diperolehi menerusi acara bola tampar lelaki dan Iron Men," kata beliau selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah SUTRA 2019 di Kompleks Sukan Syed Sirajudin Areeb Putra, di sini.

Sementara itu, Ajutan Kor SUKSIS UniMAP,  Deputi Superitendan (KS) Mustaffa Ismail    berkata Kor SUKSIS UniMAP selaku penganjur dan tuan rumah kali ini membuat persiapan rapi bagi menerima delegasi kontinjen dari Universiti Awam zon utara.

Katanya, mereka membuat persiapan sejak lima bulan lalu bagi memastikan kelancaran SUTRA 2019.

"Lebih manis UniMAP juga berjaya mencapai kejayaan walaupun menerima saingan sengit daripada UA lain yang tidak kurang hebatnya," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

SUTRA 2019 yang dirasmikan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal itu turut disertai hampir 700 atlet dan pegawai Kor SUKSIS dari UniMAP, USM,Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, UiTM Kedah, UiTM Perak dan UiTM Pulau Pinang.

Sempena SUTRA 2019 itu juga para pegawai dan jurulatih turut berpeluang bertanding dalam pertandingan Woodball yang semakin popular pada masa kini.

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019