- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
INEE Raih Anugerah PATRON Pada EREKA 2014
PAUH PUTRA, 6 Februari — Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) meraih hadiah patron selepas memperolehi 10 pingat emas pada Ekspo dan Pameran Penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (EREKA 2014) di Dewan Ilmu, Kampus Pauh Putra, baru –baru ini.
Pingat emas disumbangkan Pengarah INEE, Prof. Dr. Uda Hashim, (enam emas) manakala Prof. Madya Dr. Yarub Al-Douri meraih dua emas dan Dr. Ruslinda A. Rahim serta Mohammad Nuzaihan Md Nor masing-masing meraih satu emas.
Manakala Anugerah Khas, Best Of The Best Award dimenangi Penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektik, Baharuddin Ismail dengan produk Harmonic generator dan Wong Yee Shian dari PPK Alam Sekitar meraih Anugerah Khas Best Green Award bagi produk Advanced ASGCB for the Production of Bio-Methane Gas.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, antara perkara yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik termasuklah aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana.
“Sebagai sebuah universiti yang mempunyai pelbagai kepakaran kita perlulah berusaha untuk membuat kajian berimpak tinggi.
“Saya ingin menyeru kepada semua penyelidik untuk menghasilkan sesuatu yang berguna dan bermanfaat dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup generasi kita pada masa hadapan,”katanya
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Profesor Madya Dr. Mohd Foad Sakdan, Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dan Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan UniMAP Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin.
Sebanyak 340 produk penyelidikan dari 15 Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab dipertandingankan pada EREKA 2014 manakala 84 bagi EMYIS 2015 kali ini.