A+ A A-

Pasukan Se-Sport Tolak Stigma Negatif Juarai Permainan Video 2019

Kangar, 15 Mac – Stigma negatif masyarakat tentang permainan video sering dikaitkan dengan kelekaan yang melampau hingga menjejaskan urusan seharian.

Namun, bagi pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Muhammad Ikhmal  Yusman berpendapat ia terletak pada diri masing-masing dalam menguruskan jadual seharian.

Katanya, bermain permainan video itu bukan sahaja dapat meredakan tekanan ketika belajar malah dapat menguji kemahiran berfikir.

“Cuma kita harus pandai menguruskan masa bermain dengan pelajaran, tetapkan masa yang sesua untuk bermain, nescaya permainan video tidak akan menjejaskan pelajaran mahupun urusan lain,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Terdahulu, Muhamad Ikhmal bersama rakan sepasukan dalam permainan video , SE-Sport UniMAP berjaya meraih tempat pertama  permainan Pro Evolution Soccer  (Pes2019)  dalam kejohanan E-Sport Wilayah Utara di Universiti Teknologi Petronas (UTP), baru-baru ini.

Mereka yang lain ialah Muhammad Azif Amirul Azmi dan Muhammad Naqiuddeen Abdul Aziz yang juga pelajar sekuliah Muhammad Ikhmal di Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE).

Tambah Muhammad Ikhmal, menyertai pertandingan permainan video juga dapat menambah kenalan baharu dari universiti lain sekaligus dapat bertukar-tukar pendapat dengan mereka.

Beliau berkata, sebelum ini beliau banyak menyertai pertandingan permainan video itu sejak 2016 namun pertama kali mewakili UniMAP bersama pasukan  di kejohanan sukan kampus berkenaan.

“Kami menjalani latihan di studio permainan video rakan-rakan saya di Jitra Kedah apabila hujung minggu dan berazam untuk mencipta kejayaan sama di peringkat nasional pula bulan depan .

“Wang tunai berjumlah RM600 yang diraih di pertandingan baru-baru ini akan digunakan bagi menampung perbelanjaan ke pertandingan itu di Kuala Lumpur untuk mewakili universiti,” katanya.

 

Pesara 2019